AWALUDDIN diserang demam panas, muntah dan hilang selera makan mendadak sekitar Jun lalu sebelum ditahan di wad Hospital Tawau.
AWALUDDIN diserang demam panas, muntah dan hilang selera makan mendadak sekitar Jun lalu sebelum ditahan di wad Hospital Tawau.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Pendedahan Harian Metro ramai belia bertarung nyawa di hospital kesan pengambilan vape terus mendapat reaksi beberapa lagi mangsa yang muncul berkongsi detik antara hidup dan mati.

Seorang penghisap vape, Awaluddin Alias, 28, memaklumkan dia dimasukkan ke hospital selepas mengalami paru-paru berair kesan pengambilan vape.

Dia mendedahkan mula menghisap rokok sejak di bangku sekolah sebelum bertukar kepada vape dan pod pakai buang (disposable pod).

"Tidak timbul istilah menghisap vape untuk mengurangkan ketagihan rokok kerana kedua-duanya ada 'fungsi' sama serta mengandungi nikotin.

"Namun malang tidak disangka apabila saya diserang demam panas, muntah dan hilang selera makan mendadak sekitar Jun lalu," katanya yang berasal dari Sabah.

Menurutnya, dia ditahan di wad Hospital Tawau sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi air.

"Ketika itu saya takut bila mengetahui bahagian paru-paru perlu ditebuk bagi mengeluarkan air. Namun doktor memberi pilihan dengan menyucuk jarum bagi membolehkan cecair pada paru-paru dikeluarkan sedikit demi sedikit,

"Sakitnya tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Rasa derita dan seksanya hanya Tuhan yang tahu apatah lagi ketika batuk," katanya yang dirawat di hospital selama 10 hari.

Menurutnya, kejadian dialami membuatkan dia insaf dan meninggalkan tabiat menghisap vape.

"Saya menasihati orang ramai terutama golongan belia dan remaja supaya berhenti menghisap rokok atau menggunakan vape dan pod pakai buang," katanya.

LAPORAN Metro Ahad, 30 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Metro Ahad, 30 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP

Sebelum ini seorang remaja lelaki turut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nukleus Labuan dan menerima rawatan susulan kerosakan bahagian dalaman paru-paru akibat menghisap vape.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, diagnosis menyeluruh dilakukan terhadap remaja berusia 17 tahun itu mendapati pesakit terbabit mengalami beberapa kerosakan bahagian dalam paru-paru di samping simptom rhabdomiolisis dan kegagalan buah pinggang.

"Siasatan mendapati remaja itu menghisap vape dua minggu sebelum dimasukkan ke ICU," katanya.

Ahad lalu Harian Metro mendedahkan penderitaan dialami pemuda dikenali sebagai Shah, 23, yang terpaksa ditebuk pada bahagian paru-paru bagi menyelamatkan nyawanya kesan menghisap vape.

Mangsa membuat pembedahan paru-paru di sebuah hospital swasta selepas demam hampir 10 hari dan sukar bernafas dengan sempurna.

Menurutnya, melalui pemeriksaan doktor, lebih dua pertiga paru-parunya di bahagian kanan dipenuhi cecair.

LAPORAN Harian Metro, 31 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 31 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP

Kebanyakan tukar jadi dwi pengguna

Penggunaan e-rokok atau vape tidak mempercepatkan penurunan kelaziman merokok sebaliknya sebahagian besar penghisap e-rokok adalah dwi pengguna dan bukannya berhenti merokok.

Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia, Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, lebih menakutkan apabila pengguna rokok elektronik atau vape berisiko mengalami kecederaan paru-paru E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) selain kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

Menurutnya, terdapat trend membimbangkan berkaitan peningkatan pengambilan e-rokok atau rokok elektronik dan ketagihan nikotin, terutamanya dalam kalangan belia.

"Cadangan Dasar Generasi Penamat (GEG) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah langkah tepat bagi memastikan nasib generasi muda negara tidak punah akibat rokok atau vape.

"Oleh kerana pencegahan sentiasa lebih baik daripada mengubati, dasar cemerlang ini akan meningkatkan usaha Malaysia untuk menangani masalah tembakau dengan lebih berkesan.

"GEG Malaysia adalah cadangan dasar yang wajar untuk melindungi belia daripada ketagihan sepanjang hayat dan penyakit kronik, yang juga akan meraih faedah sosial dan ekonomi dalam jangka masa panjang," katanya.

Dianggarkan terdapat 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia ketika ini dan bilangannya terus meningkat.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 7:15 AM