MENGHISAP vape memberi kesan buruk kepada manusia.
MENGHISAP vape memberi kesan buruk kepada manusia.
Hafiz Ithnin


MENGHISAP vape atau peranti rokok elektronik sememangnya menjadi sesuatu yang popular dalam kalangan masyarakat. Malah, tabiat buruk itu juga menular dalam kalangan mereka yang masih muda.

Hakikatnya, kesan menghisap vape dari sudut kesihatan sudah banyak dikongsikan di media massa. Malah, ada mangsa yang merana seumur hidup kerana menghisap peranti elektronik itu.

Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratifdi Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, amalan menghisap rokok elektronik yang dikatakan mampu mengurangkan ketagihan si perokok konvensional tidak mempunyai fakta yang tepat.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus tahun lalu dengan pertambahan sembilan peratus perokok.

"Menurut Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Murallitharan Munisamy, data melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dilihat semakin membimbangkan.

"Hal ini kerana, kajian menunjukkan di Malaysia 27,000 kematian berlaku dalam setahun akibat merokok. Pada 2016, pengguna dewasa vape adalah 3.2 peratus sebelum meningkat kepada 4.9 peratus pada 2019," katanya.

Tambahnya, jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, pengguna rokok elektronik atau vape meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang di Malaysia. Statistik di atas sepatutnya menjadikan kita semua lebih peka dengan bebanan masalah merokok yang berlaku dalam kalangan rakyat.

"Malah, mereka yang beralih daripada merokok secara konvensional kepada rokok elektronik atau vape ini akan menjadi ketagihan untuk menggunakan peranti itu. Ia bersandarkan beberapa ciri yang biasanya ditawarkan vape seperti tidak mempunyai asap yang tebal dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan.

"Dari sudut kesihatan, amalan menghisap vape boleh meningkatkan risiko kecederaan paru-paru, penyakit paru-paru tersumbat ronik (COPD), asma, kanser paru-paru dan penyakit kardiovaskular. Laporan mengenai kerosakan paru-paru kerana ketagihan vape juga bukan sesuatu perkara yang baharu," katanya.

Katanya, cecair yang digunakan dalam vape, juga dipanggil e-cecair, e-jus atau jus vape biasanya mengandungi nikotin, perasa dan bahan kimia lain. Setiap sedutan vape, ganja, nikotin, dan bahan kimia lain masuk dalam paru-paru. Wap yang terhasil kemudian dikeluarkan melalui hidung atau mulut.

TAMPALAN yang dibuat kerana kerosakan gigi yang teruk akibat menghisap vape.
TAMPALAN yang dibuat kerana kerosakan gigi yang teruk akibat menghisap vape.

"Sesetengah orang tersalah anggap bahawa vape adalah lebih sihat dan lebih selamat. Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa vape memberi kesan buruk sama seperti rokok terhadap kesihatan mulut, menjejaskan gigi serta gusi dan bahagian lain dalam mulut.

"Vape mempunyai kesan negatif sama seperti rokok. Jadi, doktor gigi boleh mengetahui sama ada seseorang itu menghisap vape, terutama jika mereka sudah menggunakan vape untuk jangka panjang," katanya.

Katanya, vape memberi kesan kepada gigi dalam pelbagai cara. Ia boleh membawa kepada pertumbuhan bakteria. Hasil kajian pada 2018 mendedahkan bahawa jumlah bakteria yang lebih tinggi ditemui pada gigi yang terdedah kepada aerosol e-rokok berbanding gigi yang tidak terdedah.

"Pengumpulan bakteria lebih tinggi di celah dan permukaan gigi. Pengumpulan bakteria pada kawasan dalam mulut dikaitkan dengan risiko penyakit gusi, kaviti, sakit gigi dan kerosakan gigi yang lebih tinggi.

"E-rokok juga mengandungi nikotin yang mengotorkan gigi. Ia berlaku kerana enamel atau permukaan luar gigi yang keras mempunyai liang. Apabila seseorang menghisap vape, nikotin terperangkap dalam liang enamel menyebabkan berlaku perubahan warna," katanya.

Jelasnya lagi, perubahan warna gigi mungkin datang dalam pelbagai warna kuning, coklat atau hitam. Ia kadangkala bergantung pada jenis cecair vape yang digunakan dalam vape berkenaan.

"Nikotin yang ada dalam e-rokok juga bertindak sebagai perangsang. Apabila ia merangsang otot rahang untuk mengecut akan menyebabkan seseorang itu menggigit gigi mereka walaupun ketika tidur. Ini adalah keadaan yang dipanggil gigi berlaga atau bergesel.

PEMERIKSAAN gigi perlu dilakukan antara tiga hingga enam bulan jika anda penghisap vape atau rokok.
PEMERIKSAAN gigi perlu dilakukan antara tiga hingga enam bulan jika anda penghisap vape atau rokok.

"Kajian pada 2016 turut menunjukkan bahawa e-rokok boleh mencetuskan tindak balas keradangan dalam tisu gusi. Keradangan gusi kronik dikaitkan dengan penyakit periodontal seperti penyusutan gusi," katanya.

Dari sudut lain, Dr Mohd Haikal berkata, aerosol vape meningkatkan keradangan dan menyebabkan kerosakan DNA dalam sel hidup gusi manusia. Kerosakan pada sel menghalangnya daripada membesar dan membahagi. Ia boleh mempercepatkan penuaan sel. Keadaan ini membawa kepada kematian sel.

Kerosakan DNA memainkan peranan penting dalam kesihatan mulut menyebabkan masalah seperti nafas berbau atau halitosis, kesusutan tulang, mulut kering, penyakit gusi atau penyakit periodontal pereputan gigi atau kehilangan gigi.

MEMBERUS gigi secara biasa kadangkala tidak dapat membersihkan kotoran akibat kesan menghisap vape di gigi.
MEMBERUS gigi secara biasa kadangkala tidak dapat membersihkan kotoran akibat kesan menghisap vape di gigi.

"Ada kesan kesihatan mulut yang lain akibat vape, selain daripada yang biasa diketahui. Ia termasuk menyebabkan mulut kering. Nikotin dan propilena glikol kedua-duanya terdapat dalam cecair vape yang menjadikan aliran air liur dalam mulut dengan menyerap lembapan, mengeringkan permukaan dan tisu gigi.

"Pengurangan aliran air liur menyebabkan mulut kering membawa kepada pengumpulan bakteria plak. Akhirnya, pembentukan plak boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:00 AM