SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum menerima sebarang aduan berhubung penukaran label kampit beras yang dilaporkan berlaku, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu beras terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

"Dalam isu ini, kita masih lagi menunggu aduan dan setakat ini, masih belum ada aduan diterima. Jika ada, kita akan lihat perkara ini.

"Setakat ini, kita tidak dapat lagi bukti perkara ini (tukar label beras tempatan kepada import) berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, KPDN dan KPKM akan meneruskan kolaborasi bagi memantau isu berkenaan.

"Dalam mesyuarat kabinet semalam, kedua-dua kementerian ini ada berbincang mengenai perkara ini.

"Pastinya kita akan memantau dan buat sesuatu termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar.

"Pada masa sama, KPKM juga menjalankan Op Beras Putih dalam usaha memantau isu ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import bagi mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:58 PM