SEKTOR pembinaan berdepan cabaran kenaikan bahan binaan - FOTO Google
SEKTOR pembinaan berdepan cabaran kenaikan bahan binaan - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, hampir semua sektor terjejas termasuk pembinaan.

Pelbagai dugaan menimpa sektor ini sehingga mengakibatkan banyak projek pembinaan berdepan masalah.

Bermula dengan projek terpaksa dihentikan sementara sehingga wujud kluster di tapak pembinaan dan kini berdepan peningkatan harga binaan.

Situasi ini menyebabkan pemaju dan kontraktor berada dalam keadaan dilema apabila segala kos akan meningkat dan secara tidak langsung bakal berdepan kerugian.

Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Ts Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, menurut laporan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) harga bahan pembinaan adalah stabil pada tahun 2020.

Katanya, bagaimanapun trend kenaikan batang besi dan beberapa bahan berunsurkan logam dilihat semakin menaik menjelang 2021.

"Kira-kira 30 peratus dari bahan pembinaan dibuat di China manakala batu, gelas dan besi diimport dari Itali.

"Kedua-dua negara itu mengalami impak yang teruk ketika pandemik Covid-19.

Ini secara tidak langsung memberi kesan buruk terhadap industri pembinaan tanah air," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PEMAJU dan kontraktor berdepan dilema. - FOTO Google
PEMAJU dan kontraktor berdepan dilema. - FOTO Google

Beliau berkata, harga besi dikatakan naik sehingga mencecah 100 peratus dan seterusnya mengakibatkan kerugian kepada pemain utama sektor pembinaan.

"Rentetan dari harga besi, simen dan bahan-bahan asas utama pembinaan meningkat ia memberi kesan limpahan kepada beberapa bahan pembinaan yang lain termasuk pasir, batu dan beberapa bahan utama yang lain," katanya.

Di samping itu, kenaikan harga juga dikatakan disebabkan ketidakstabilan menguruskan kewangan ketika pandemik.

Harga yang 'dimasukkan' kontraktor ke dalam kontrak pembinaan tidak dapat menampung ketidaktentuan harga pasaran dan kerja-kerja tambahan disebabkan pandemik Covid-19.

"Walaupun rata-rata kontraktor mempunyai dana kontingensi, ia dikatakan tidak mampu untuk menampung kerugian ketika musim pandemik ini.

"Ini sekali gus memberi kesan terhadap rantaian bekalan industri pembinaan akibat kelewatan pembayaran oleh kontraktor dan juga kelewatan pembayaran daripada pihak pemaju," katanya.

Jelasnya, akibat daripada ketidaktentuan harga bahan pembinaan ini akan mengakibatkan kesan jangka panjang kepada seluruh rantaian bekalan industri pembinaan.

"Antara akibat yang dapat dikenal pasti adalah lambakan projek pembinaan yang pada akhirnya akan menyebabkan projek terbengkalai dan lewat.

"Mutu kerja juga akan menurun dari segi kualiti pembinaan disebabkan kontraktor mengambil langkah mudah menukar bahan pembinaan kepada kualiti dan harga yang lebih murah," katanya.

DIBIMBANGI kontraktor menukar bahan pembinaan kepada kualiti dan harga yang lebih murah.
DIBIMBANGI kontraktor menukar bahan pembinaan kepada kualiti dan harga yang lebih murah.

Selain itu, kelewatan pembayaran kepada pembekal disebabkan aliran tunai kontraktor yang terganggu akan mengakibatkan proses pembinaan terganggu di tapak pembinaan.

Katanya, secara tidak langsung, projek perumahan yang sudah berjalan mengalami gangguan dari segi kelewatan dan juga kualiti pembinaan akan menurun.

Mengulas lanjut, kenaikan harga barang terutama di kala pandemik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun terdapat pelbagai penyelesaian dapat difikirkan pihak kerajaan.

"Bahan binaan alternatif seperti bahan binaan hijau dan bahan binaan bersifat kitar semula harus dipopularkan bagi mengganti kebergantungan industri terhadap bahan-bahan mentah yang tidak mapan.

"Bahan-bahan yang digunakan di dalam industri pembinaan haruslah bersifat agil dan boleh dihasilkan secara berterusan tanpa mengganggu jejak karbon.

"Bahan-bahan bersifat hijau juga adalah termasuk penggunaan bahan-bahan yang boleh diperbaharui seperti penggunaan hasil penyelidikan tempatan yang mesra alam dan dapat diperbaharui dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya penyelidik tempatan menjalankan penyelidikan berkaitan bahan pembinaan alternatif yang dapat menjadi bahan yang lebih mudah diperbaharu dan mesra alam.

"Ia secara langsung mengelakkan kita terus bergantung kepada bahan eksport dari negara asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:00 AM