ORAK langkah hadir single sulung berjudul Gimme That Crown dengan suntik elemen kebudayaan, tradisional. - Aziah Azmee
ORAK langkah hadir single sulung berjudul Gimme That Crown dengan suntik elemen kebudayaan, tradisional. - Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Kewujudan kumpulan muzik baharu terutama kumpulan wanita sentiasa mencuri tumpuan peminat muzik tanah air. Namun, tidak semuanya mampu bertahan dan ada juga yang lenyap ditelan waktu.

Bagi kumpulan muzik wanita, Coex, kehadiran mereka diterima baik lebih-lebih lagi apabila pengenalan mereka dibuat menerusi program realiti Big Stage.

Coex yang dianggotai Mikaela Qistina, Eyka Shahidan, Dals, Amylia Loh dan Elysha Khan mula mengorak langkah dan hadir dengan single sulung berjudul Gimme That Crown.

Mikaela berkata, dia bersama Eyqa, Amy dan Ely bergabung selepas menyertai uji bakat yang dianjurkan Armani Entertainment pada Oktober 2021.

"Selepas itu, apabila syarikat rakaman mahukan satu kumpulan dengan lima anggota, kami ditakdirkan berjumpa dengan Dals melalui Instagram dan bergabung menjadi Coex," katanya.

Dals berkata, dalam tempoh setahun, mereka membina nama terutama di media sosial dengan membuat video 'cover' dan sebagainya.

Kerap dibandingkan dengan kumpulan muzik wanita sedia ada terutama Dolla, Dals berkata, mereka masih baharu dalam industri muzik dan perlu belajar banyak perkara berbanding senior mereka.

"Dolla sudah lama dan mereka umpama senior kami. Tak seharusnya kami dibandingkan dengan senior yang sudah berpengalaman dalam industri muzik. Kami masih baharu dan banyak lagi yang perlu kami belajar.

"Untuk kekalkan kewujudan, kami harap identiti majmuk yang diketengahkan dan ada kepelbagaian dapat menjadikan nama kami lebih kuat. Kami tampilkan dalam muzik, penampilan, konsep dan tarian kami. Harap orang ramai dapat melihat karakter dan personaliti kami," katanya.

Bagi Amy pula, perbandingan juga adalah sesuatu yang normal dan menjadi tugas mereka untuk meraikan satu sama lain.

"Saya rasa perbandingan itu adalah sesuatu yang normal. Setiap kumpulan itu ada kekuatan tersendiri dan kita kena raikan satu sama lain. Kami akan sama-sama naikkan muzik M-Pop dengan cara masing-masing dan kalau dapat, kami nak belajar daripada Dolla.

COEX ketengahkan identiti majmuk. - Aziah Azmee
COEX ketengahkan identiti majmuk. - Aziah Azmee

"Kelainan kami adalah dengan menyuntik elemen kebudayaan dan tradisional dalam muzik. Contohnya, dalam Gimme That Crown pun, kalau diamati ada beberapa elemen muzik tradisional. Pakaian yang kami tampilkan dalam muzik video pun ada sedikit suntikan kebudayaan," katanya.

Sementara itu, Ely pula berpendapat bahawa perbandingan dapat membuka sisi positif terutama buat genre muzik M-Pop yang diperjuangkan mereka serta kumpulan muzik wanita yang lain.

"M-Pop masih menjadi industri muzik berskala kecil. Jadi, apabila orang membuat perbandingan antara kami dengan kumpulan lain, dari sudut positifnya orang nampak dan bercakap mengenainya. Aina Abdul pernah berpesan kepada kami supaya mencari identiti untuk Coex. Jadi, kami bereksperimen dengan pelbagai konsep," katanya.

Gimme That Crown pembakar semangat

Bercerita mengenai lagu Gimme That Crown yang dicipta Karen Yee, Melisa YC, Chris M Yong, Asyraf Nasir, Coex dan Mel Ramlan, Coex menggambarkannya sebagai karya pembakar semangat buat pendengar.

Mikaela berkata, mereka mahu sampaikan mesej kepada orang ramai supaya tahu kekuatan diri masing-masing.

"Kami nak membawa keyakinan kepada setiap yang mendengar. Kami suka bereksperimen dan bermain dengan pelbagai konsep serta genre. Harapnya peminat akan nampak usaha kami itu," katanya.

Dalam minggu pertama saja, muzik video Gimme That Crown yang dilancarkan pada 4 Ogos lalu mendapat lebih 30,000 tontonan di YouTube dan jumlahnya terus meningkat.

Kini Coex melakukan persiapan untuk persembahan pertama mereka di Kepci Music Fest yang berlangsung pada 26 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Kami akan membuat persembahan di samping nama besar antaranya Datuk Amy Search dan Misha Omar. Memang rasa sangat teruja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:00 AM