Nurul Hidayah Bahaudin


Selain faktor alam semula jadi, tragedi mati lemas ketika melakukan aktiviti di air juga sering berpunca daripada kecuaian manusia.

Malah beberapa lokasi yang dikenal pasti sering berlaku insiden mati lemas membabitkan kawasan yang tidak sesuai untuk beriadah.

Antara punca berlakunya perkara tidak diingini ialah apabila segelintir pengunjung terikut-ikut dengan budaya mahu menerokai tempat baharu tanpa menyedari risiko yang ada di situ. Ikuti kupasan wartawan Harian Metro, Nurul Hidayah Bahaudin berkaitan isu ini.


Putrajaya: Pantai Tanjung Balau dan Perairan Sungai Rengit di Johor serta Pangkalan Feri Triso di Sarawak adalah tiga lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kejadian lemas berdasarkan jumlah kematian direkodkan bagi tempoh 2022 hingga Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, lokasi itu dikenal pasti melalui indikator kategori berisiko tinggi dengan kekerapan insiden kematian melebihi empat mangsa.

Katanya, Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Johor merekodkan 22 kematian bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu, manakala Pangkalan Feri Triso, Maludam, Sarawak mencatatkan sembilan kematian.

Perairan Sungai Rengit, Pulau Tok Kamat, Johor pula mencatatkan lima kematian dalam tempoh sama.

"Secara keseluruhannya, kami mengenal pasti 93 lokasi di seluruh negara membabitkan sungai atau tali air; pantai; tasik atau lombong; air terjun atau jeram dan pembentung sebagai kawasan berisiko tinggi kejadian lemas.

"Selain tiga lokasi terbabit, beberapa kawasan turut tersenarai berisiko iaitu Kolam Takungan Taman Cahaya, Sungai Chua, Selangor; Sungai Pedu, Kuala Nerang, Kedah; Lata Cangkah, Hulu Seladang, Terengganu; Pantai Bayu Layar, Johor dan kawasan pembentungan di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Abdul Wahab berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 1,464 kes kematian lemas membabitkan aktiviti air direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu dengan Sarawak merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 221 kematian diikuti Selangor (177 kematian) dan Sabah (164 kematian).

"Kebanyakan kes lemas yang dilaporkan berlaku di kawasan sungai atau tali air kerana terdapat aktiviti memancing, menjala dan mandi di lokasi berkenaan. Insiden lemas boleh berlaku di kawasan terbabit apabila seseorang tidak menggunakan kelengkapan mencukupi.

"Ini termasuk dari aspek keselamatan yang tidak diamalkan seperti pemancing tidak memakai jaket keselamatan, membawa ahli keluarga yang tidak pandai berenang selain individu tidak mampu berenang dalam tempoh lama atau jarak jauh.

"Di Sabah dan Sarawak pula, keluasan sungai serta keadaan arus mengikut musim menjadi faktor utama menyebabkan kawasan sungai berbahaya dan boleh menyebabkan insiden lemas yang menyebabkan usaha menyelamatkan diri sukar sekali gus mengorbankan nyawa," katanya.

Katanya, selain faktor semula jadi, terdapat juga faktor kecuaian manusia yang menjadi punca berlakunya kes lemas termasuk tidak membuat persediaan awal semasa melakukan aktiviti di air dan tidak mengambil berat aspek keselamatan.

"Ada pihak yang tidak menganggap jaket keselamatan sebagai keperluan ketika melakukan aktiviti air kerana mereka boleh berenang. Namun kita kena ingat bahawa ketika kejadian, tahap kesihatan kita mungkin tidak berada dalam keadaan baik bagi membolehkan berenang pada jarak jauh.

"Ditambah lagi dengan keadaan air ketika itu yang deras boleh menyebabkan kita gagal untuk berenang menyelamatkan diri selain faktor luar jangka seperti mengalami kekejangan serta terdedah kepada hujan dalam tempoh lama mengakibatkan daya ketahanan berkurangan," katanya.

Mengulas mengenai cabaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dikhuatiri lemas, beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran melakukan penyelamatan membabitkan arus deras, keadaan air terlalu keruh atau gelap yang mengakibatkan mengehadkan penglihatan selain ancaman binatang seperti buaya serta ular.

"Kita mengambil kira banyak aspek sebelum operasi SAR dijalankan termasuk menilai sama ada kawasan itu dapat diselam. Kebanyakan sungai di negara ini, airnya keruh serta ada juga kawasan berlumpur yang memerlukan anggota bertugas terpaksa berjalan meredah halangan seperti tunggul kayu, ranting dan duri.

"Perkara ini yang perlu kita teliti sebelum menjalankan operasi bagi mengelakkan anggota bertugas berdepan risiko kemalangan serta lemas semasa melakukan penyelamatan serta pencarian di kawasan terbabit," katanya.


Tawakal setiap kali selam cari mangsa: Anggota PPDA

Kuala Lumpur: "Saya tawakal setiap kali menyelam dan hanya niat untuk menyelamatkan mangsa supaya dapat diserahkan kepada ahli keluarganya.

"Malah saya sentiasa kosongkan fikiran dan tidak mahu memkirkan ancaman termasuk 'kehadiran' buaya bagi mengelak rasa takut," kata seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang bertugas di Sarawak.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Suliadi Gimo, 52, berkata, jumlah kes diterima membabitkan penyelamatan mangsa lemas diserang buaya tidak terlalu kerap.

"Boleh dianggarkan dua hingga tiga kes sahaja kami terima dalam tempoh setahun membabitkan mangsa lemas yang diserang buaya.

"Apabila terima kes yang sudah disahkan diserang buaya, kami akan membuat pemeriksaan dulu di kawasan sekitar termasuk di persisir sungai dan kawasan berdekatan kayu bakau.

"Ini kerana dalam kes sebegini, mangsa pastinya sudah berada jauh sedikit dari lokasi dia diserang (buaya) kerana diseret haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Suliadi berkata, sebaik pihaknya dimaklumkan mengenai kewujudan buaya di lokasi kes lemas, pihaknya akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

"Dengan menaiki bot, kita boleh 'menghalau' buaya yang ada di sekitar kawasan itu sebelum dan semasa pencarian dilakukan.

"Sepanjang 17 tahun bertugas sebagai anggota PPDA di Sarawak, belum pernah lagi saya berdepan atau terserempak dengan buaya semasa operasi penyelamatan.

"Dari segi keadaan mangsa pula, lazimnya mayat mangsa dalam keadaan tidak sempurna iaitu dalam bentuk cebisan kerana digigit atau dibaham oleh buaya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, seramai 25 individu dilaporkan sebagai mangsa serangan buaya di negeri berkenaan bagi tempoh 2018 hingga 31 Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, tiga mangsa dilaporkan pada 2018; satu kes (2019); lapan kes (2020); sembilan kes (2021); empat kes (2022) dan tiada mangsa dilaporkan pada tahun ini (sehingga Julai 2023).

"Ia membabitkan kes yang dilaporkan di Petra Jaya, Lundu, Kota Samarahan, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sungai Merah, Tanjung Manis, Mukah, Bintulu, Tatau, Samalaju, Batu Niah, Lopeng dan Lawas," katanya ketika dihubungi.

Khirudin berkata, dalam penugasan di lokasi berisiko dan luar jangka membabitkan mangsa disambar buaya, kepekaan anggota penyelamat perlu diberi perhatian serius.

"Ini kerana kesilapan dalam pengetahuan lokasi boleh membawa padah kepada pasukan penyelamat.

"Justeru itu, setiap ketua balai dan penyelia pasukan perlu membuat pra rancangan di lokasi berisiko untuk memudahkan gerak kerja serta keyakinan ahli pasukan," katanya.

Beliau berkata, input dari latihan simulasi dan maklumat daripada penduduk tempatan banyak membantu untuk meningkat keyakinan diri anggota penyelamat.

"Ini kerana ilmu 'alam' dan sifat-sifat binatang buas di kawasan lokasi juga penting selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyelamatan serta bantuan peralatan," katanya.

Amirul Amin Abd Wahab
Amirul Amin Abd Wahab


'Kami perlu daki lebih tiga jam'

Shah Alam: "Disebabkan risiko ketika menyelam ini sentiasa ada, saya akan memaklumkan kepada ahli keluarga setiap kali terbabit dalam operasi menyelamat terutama ibu kerana doa ibu boleh melindungi kita dari segala bahaya," kata anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Amirul Amin Abd Wahab, 25,

Amirul Amin yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam sejak 2019 berkata, cabaran menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bukan saja ketika menyelam dalam keadaan gelap akibat air keruh malah perlu menempuh perjalanan sukar untuk sampai ke lokasi pencarian.

Berkongsi detik paling mencabar dalam kariernya, Amirul berkata, dia serta rakan setugas perlu mendaki lebih tiga jam untuk ke Lata Makau di Kuala Kubu Bharu selepas menerima laporan seorang lelaki lemas di lokasi berkenaan pada tahun lalu.

"Kami difahamkan terdapat sekumpulan individu berkelah di Sungai Pertak mendaki sehingga ke Lata Makau sebelum seorang daripada mereka terus terjun selepas lebih tiga jam mendaki untuk sampai ke sana dan dilaporkan lemas.

"Kami mengambil perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu kira-kira dua jam dan sebaik tiba kami diberikan taklimat apa yang berlaku sebelum mendaki dengan memikul barang untuk menyelam dianggarkan seberat 18 kilogram (kg).

"Selepas perjalanan lebih tiga jam mendaki, kami tiba di lokasi dan nampak mayat pada jarak satu meter dari lokasi dia dilaporkan kali terakhir dilihat memandangkan keadaan air yang jernih," katanya ketika ditemui di BBP Shah Alam.

Menurutnya, berbanding dengan air terjun, penyelamatan di tasik dan sungai agak berbeza kerana keadaan air yang keruh menyebabkan keadaan gelap.

"Di setiap lokasi ini ada cabarannya tersendiri seperti di air terjun yang air mungkin jernih, tetapi perlu berdepan dengan arus kuat.

"Di sungai atau tasik pula, mungkin arus tidak begitu kuat, tetapi keadaan gelap sebab air keruh," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota PPDA bertugas di balai sama, Mohamad Khazrem Kamarulzaman, 30, berkata, antara kaedah yang digunakan untuk mencari mangsa lemas adalah secara menyelam.

"Kebiasaannya selaman dilakukan secara berpasangan menggunakan teknik rapat ke dasar untuk mencari mayat dengan meraba.

"Sebaik tangan menggapai anggota badan mangsa, kita akan beritahu dengan pasangan dengan menghulurkan tangan mereka ke arah mangsa untuk mengesahkan penemuan mayat.

"Kita akan pastikan tiada benda yang tersangkut pada mayat dan maklumkan kepada pasukan yang berada di atas (darat) bahawa sudah menemui mangsa melalui tarikan tali sebagai isyarat.

"Bagi menjaga aib mangsa atau gambar diambil oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian, kami akan segera masukkan mayat ke dalam beg mayat dan letakkan di atas pengusung semasa mayat masih berada di dalam air," katanya.

Bagi Mohamad Khazrem, walaupun sudah mempunyai pengalaman dalam PPDA sejak menyertai pasukan itu pada 2016, perasaan takut setiap kali menyertai operasi tetap ada.

"Setiap kali operasi, akan ada rasa takut yang bagi saya adalah perasaan biasa dialami mana-mana anggota kerana kita tidak boleh jangka apa cabaran serta risiko perlu dilalui semasa penyelamatan.

"Saya serahkan rasa takut itu kepada Allah dan sentiasa memohon lindungan-Nya semasa melakukan operasi. Minda kena tenang dan kosong supaya kita boleh menjalankan tugas dengan baik dan selamat, Insya-Allah," katanya.


Nak 'selfie' di tempat cantik hingga lupa keselamatan

Putrajaya: Orang ramai yang mahu melakukan aktiviti di air digalakkan supaya memilih lokasi sudah diwartakan sebagai tempat beriadah bagi mengelak tragedi mati lemas memandangkan kawasan itu mempunyai kemudahan asas termasuk dari segi keselamatan disediakan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kebanyakan lokasi yang sudah diwartakan juga mempunyai tanda amaran, peralatan asas menyelamat serta operator bertugas bagi memantau kawasan terbabit.

"Kita bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan dengan mengadakan sesi taklimat terutama dari segi aspek keselamatan kawasan riadah di air bagi memastikan lokasi itu lebih selamat untuk dikunjungi orang awam.

"Malah ada sesetengah lokasi mempunyai petugas yang dilantik bagi memantau lokasi berbahaya dengan memberi teguran serta amaran supaya tidak berada di kawasan bahaya khususnya di tempat air terjun yang mempunyai pusaran air kuat," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Abdul Wahab berkata, antara punca tragedi ialah apabila segelintir pengunjung terikut-ikut dengan budaya mahu menerokai tempat baharu dan berlumba-lumba mahu memuat naik lokasi berkenaan di media sosial tanpa menyedari risiko yang ada di situ.

"Kita nampak sekarang budaya selfie (swafoto) di tempat baru diterokai semakin popular hingga menyebabkan ramai orang tertarik untuk berkunjung di lokasi berkenaan.

"Namun apa yang orang ramai perlu tahu adalah lokasi terbabit lebih berisiko untuk berlakunya lemas atau kemalangan disebabkan beberapa faktor seperti batu di kawasan terbabit dipenuhi lumut menyebabkan permukaan licin. Individu yang menerokai kawasan baharu itu mungkin tidak menjelaskan mengenai risiko atau bahaya yang ada di lokasi terbabit.

"Bagi individu yang ghairah akibat terpegun dengan kecantikan tempat baharu itu, mereka mungkin tidak menyediakan keperluan keselamatan mencukupi dan lebih membimbangkan mereka membawa bersama anak-anak ke lokasi itu," katanya.

Menurutnya, kebanyakan pengunjung yang datang ke sesuatu tempat untuk beriadah atau melakukan aktiviti di air adalah orang luar dan bukan penduduk tempatan serta tidak mengetahui mengenai selok-belok lokasi terbabit.

"Bila orang luar datang ke suatu tempat, mereka lazimnya tidak mengetahui risiko serta bahaya yang mungkin ada di kawasan itu. Mungkin ada juga pengunjung berasal dari kawasan itu namun disebabkan sudah lama tidak pulang ke kampung halaman, mereka tidak menyedari perubahan di lokasi terbabit. Disebabkan itu, kita sarankan kepada pengunjung supaya melihat serta meneliti terlebih dulu keadaan sekeliling lokasi sebelum melakukan aktiviti kerana risiko boleh datang dengan mendadak seperti kejadian kepala air," katanya.

Dalam menangani kemalangan di air, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan memanggil operator jawatankuasa menyelaras di sesetengah lokasi dengan memberikan beberapa saranan seperti meletakkan jaring di tempat khusus sebagai langkah membantu mengurangkan kematian akibat lemas.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya membuat pengawasan terhadap ahli keluarga ketika melakukan aktiviti riadah di air selain menyediakan kelengkapan secukupnya seperti pemakaian jaket keselamatan untuk mengurangkan risiko lemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 12:00 PM