Siti Rohana Idris


Besut: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenalpasti 11 lokasi perkelahan yang berisiko untuk berlaku kejadian kepala air di negeri itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Wildan Azhari berkata, lokasi itu membabitkan lapan di Kuala Krai dan tiga di Jeli.

Antara lokasi yang disenaraikan adalah Sungai Kenerong, Air Terjun Gunung Stong, Lata Berangin dan Lata Y di Kuala Krai manakala di Jeli pula Lata Janggut serta Lata Renyut.

Mohd Wildan berkata, sebagai persediaan rapi, pasukannya mengambil pendekatan menjalankan kajian menyeluruh berkaitan kesemua 11 lokasi terbabit terutama dari segi geografi.

"Kita tidak pasti di mana lokasi yang tepat berlaku kejadian kepala air dan sejauh mana impak kepada kejadian itu jika membabitkan satu-satu lokasi yang disenaraikan berisiko itu tapi kami cuba kenal pasti laluan sungai utama di negeri ini.

"Orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti riadah di kawasan berisiko ini sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan perlu merujuk kepada laporan cuaca harian yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan bagi memastikan tidak terbabit dengan kejadian yang tidak diingini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, menurut statistik direkodkan awal tahun sehingga Julai ini, 23 kes lemas dicatatkan iaitu peningkatan berbanding 18 kes tahun lalu.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Katanya lagi, tahap pengawasan perlu ditingkatkan lagi terutama di kawasan riadah yang disenaraikan berisiko kepada kejadian kepala air kerana selain menyumbang kepada kes lemas, ia juga mendatangkan bahaya disebabkan aliran air yang turut membawa balak serta sampah sarap lain.

Terdahulu beliau hadir di Pulau Perhentian meninjau Kursus Pengukuhan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini.

Kursus yang disertai 30 anggota PPDA daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Pengkalan Chepa dan Machang itu dijalankan sebagai mengukuhkan lagi kemahiran menyelamat terutama persediaan menghadapi musim tengkujuh.

MOHD Wildan (kanan) melihat simulasi penyelamatan anggota PPDA yang ‘tidak sedarkan diri’ ketika latihan selaman semasa Kursus Pengukuhan PPDA JBPM Kelantan. FOTO Siti Rohana Idris
MOHD Wildan (kanan) melihat simulasi penyelamatan anggota PPDA yang ‘tidak sedarkan diri’ ketika latihan selaman semasa Kursus Pengukuhan PPDA JBPM Kelantan. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 12:02 PM