Kucing jantan dinamakan oyen yang dikatakan turut berada di lokasi nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu. FOTO IHSAN IG DR ZUL ERWAN
Kucing jantan dinamakan oyen yang dikatakan turut berada di lokasi nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu. FOTO IHSAN IG DR ZUL ERWAN
Noor Hidayah Tanzizi

Sungai Buloh: "Saya difahamkan 'Oyen' dijumpai oleh anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi pesawat terhempas di Elmina," kata pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi.

Zul Erwan menerima kucing jantan yang dinamakan Oyen itu untuk rawatan susulan kecederaan di badannya selepas dihantar anggota pasukan ambulans KKM yang bertugas di lokasi nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Terdahulu, Dr Zul Erwan berkongsi gambar dan hantaran mengenai Oyen yang dikatakan turut berada berhampiran lokasi nahas itu pada hari kejadian sebelum diselamatkan pasukan perubatan terbabit.

Perkongsian itu mendapat perhatian di Instagram (IG) dan Facebook (FB) dengan netizen memuji tindakan petugas KKM serta Dr Zul Erwan yang membantu kucing berkenaan.

Menurut Dr Zul Erwan, tiga petugas KKM menghantar kucing jantan berkenaan ke kliniknya dengan kesan kecederaan sebesar 15 sentimeter (cm) bermula daripada bahagian rusuk hingga ke bawah badannya.

Katanya, ia mengalami luka pada kulitnya seperti tersiat dan sedikit di bahagian daging, manakala kaki kanan depannya terseliuh.

Bagaimanapun, katanya, luka pada badan haiwan itu tidak terlalu parah serta tidak membabitkan organ dalaman tetapi punca kecederaannya tidak diketahui dengan jelas sama ada terkena serpihan badan pesawat atau objek lain.

"Tiada kesan terbakar pada badan dan luka Oyen, kami belum pasti punca kecederaan itu," katanya.

Oyen dijumpai petugas KKM yang turut memberi rawatan awal dengan membalut lukanya kepadanya dan dibawa pulang sementara sebelum dihantar ke klinik Dr Zul Erwan untuk rawatan lanjut.

Menurut Dr Zul Erwan, ketika mula-mula dibawa ke kliniknya didapati Oyen masih dalam keadaan terkejut.

Katanya, dia menghargai keprihatinan pasukan ambulans KKM yang turut membantu haiwan berkenaan dan keadaan oyen yang dipercayai kucing jalanan itu, kini sudah stabil dan mempunyai selera makan yang baik.

"Buat masa ini Oyen masih ditempatkan di klinik sehingga keadaannya pulih sepenuhnya dan setakat ini kos rawatannya di bawah tanggungan Zul Erwan Cat House," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:06 PM