(Dari kiri) Dzowahir, Chuah dan Mohd Radhi menyerahkan borang penamaan calon masing-masing di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah hari ini. FOTO Bernama
(Dari kiri) Dzowahir, Chuah dan Mohd Radhi menyerahkan borang penamaan calon masing-masing di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah hari ini. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pertembungan satu lawan satu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan pemain bola sepak lagenda Hijau Kuning, Radhi Mat Din di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu menjadi tumpuan ramai.

Terdahulu kedua-dua mereka pernah bertembung ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

Mengulas mengenai 'perlawanan semula' berkenaan, Mahfuz berkata, keadaan ketika ini adalah berbeza kerana pada 2018, PH menjadi pembangkang dan PN pula kerajaan di peringkat Pusat.

"Selain saya, Datuk Zamri Yusuf yang bertanding di DUN Suka Menanti dan Teh Swee Leong yang bertanding di DUN Kota Darulaman mempunyai keyakinan untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 lalu.

"Keyakinan itu berdasarkan pelbagai inisiatif yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan rakyat dalam pentadbirannya termasuk mereka yang di Kedah.

"Atas dasar itu, rakyat kini dapat menilai perubahan yang dibawa PH dan kesannya dapat dilihat apabila harga barang menjadi terkawal dan ekonomi negara terus berkembang," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas kapten pasukan Hijau Kuning, Radhi menyifatkan pertembungan bersama Mahfuz bukan sebagai misi balas dendam kekalahannya pada 2018.

"Ini adalah pertembungan biasa dalam politik, dahulu kami di Pokok Sena, sekarang di Alor Mengkudu pula dengan suasana juga berbeza kerana terdapat banyak isu yang meresahkan rakyat.

"Kita dapat merasakan gelombang itu ada bersama PN ketika ini dan anak muda dapat memahami realiti politik semasa yang kita bawa khususnya kepada pengundi di DUN Alor Mengkudu," katanya.

Pertembungan di tiga DUN berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH dan PN di setiap kerusi.

Di DUN Suka Menanti, Zamri yang juga penyandang dan Pengerusi PKR Kedah bakal berhadapan calon PN, Dzowahir Ab Ghani, manakala di DUN Kota Darulaman, penyandang kerusi, Teh Swee Leong bakal berdepan lawan PN, Chuah See Seng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 2:00 PM