Radhi Mat Din (kiri) menang kerusi Dun Alor Mengkudu manakala Baddrol yang mewakili PN menang Dun Gurun. FOTO NSTP
Radhi Mat Din (kiri) menang kerusi Dun Alor Mengkudu manakala Baddrol yang mewakili PN menang Dun Gurun. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar membuktikan keputusannya untuk terjun dalam bidang politik tidak sia-sia apabila berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun sebentar tadi.

Berdasarkan kepada keputusan rasmi menyaksikan Baddrol yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17,771 undi.

Keputusan itu sekali gus jauh meninggalkan jauh pencabarnya dari Pakatan Harapan Firdaus Johari yang memperoleh 11,187 undi.

Berdasarkan kepada keputusan terbabit, Baddrol secara rasmi memenangi kerusi DUN Gurun dengan majoriti 6,584 undi.

Sementara itu, turut bergelar Yang Berhormat adalah legenda bola sepak Kedah Radhi Mat Din apabila beliau memenangi kerusi DUN Alor Mengkudu.

Keputusan mengejutkan itu menyaksikan Radhi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 10,104 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Datuk Mahfuz Omar

Mahfuz hanya memperoleh 8,832 undi sementara Radhi memperoleh 18,936 undi selepas kesemua 68 peti undi tiba di Pusat Penjumlahan DUN itu di Maktab Mahmud di sini.

Mengikut rekod, pentas politik bukanlah asing buat Radhi apabila beliau sebelum ini pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 untuk merebut kerusi Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, nasib jelas tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada Mahfuz dengan majoriti sebanyak 5,558 undi.

Sebelum ini, Baddrol membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila bersara daripada dunia bola sepak untuk bertanding sebagai calon PN di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 10:28 PM