AMIR harap pembabitan dalam filem genre seram di Indonesia permulaan kembang bakat ke peringkat antarabangsa.
AMIR harap pembabitan dalam filem genre seram di Indonesia permulaan kembang bakat ke peringkat antarabangsa.
Ramlah Zainal


NAMA pendatang baharu, Amir Ahnaf, 21, meniti di bibir peminat menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri popular Projek: High Council.

Ternyata, watak Kahar yang juga watak jahat dalam drama bersiri itu melonjakkan namanya selepas dua tahun bergelar pelakon.

Terbaharu, Amir melakar kejayaan pertama dalam karier seninya apabila memenangi kategori BBNU Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.

Bekas peserta Hero Remaja 2021/2022 ini juga mengetepikan rakannya dalam Projek: High Council iaitu Mierul Aiman dan Fadhli Masoot. Turut dicalonkan ialah Meer Nash dan Danial Chuer.

Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairuddin berkata, dia juga tidak menjangka kemenangannya pada acara berprestij itu.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Ia berkat sokongan keluarga, rakan dan peminat yang mengundi kerana tanpa mereka, saya tidak akan berada pada tahap ini. Terima kasih buat kedua-dua ibu dan ayah kerana melahirkan 'rockstar' seperti saya.

"Mak saya dulu pun seorang bintang (aktivis teater) juga dan saya mahu menjadi sepertinya," katanya.

Amir berkata, dia juga tidak kisah siapa pun calon yang menang dalam kategori itu kerana mereka rakan seperjuangannya dalam bidang seni tanah air.

"Sebenarnya kalau Mierul atau Fadhli yang menang pun kami tetap akan sama-sama meraikan dan meneruskan perjuangan dalam industri seni.

"Ketika menyertai pertandingan Hero Remaja sebelum ini pun, saya hanya mendapat tempat ketujuh, tetapi tetap teruskan impian dalam hidup.

WATAK jahat naikkan nama Amir. - FOTO Asyraf Hamzah
WATAK jahat naikkan nama Amir. - FOTO Asyraf Hamzah

MELAKAR kejayaan pertama dalam karier seni selepas memenangi kategori BBNU Lelaki Popular di ABPBH35. - FOTO Shahril Badri Saali
MELAKAR kejayaan pertama dalam karier seni selepas memenangi kategori BBNU Lelaki Popular di ABPBH35. - FOTO Shahril Badri Saali

"Bagi saya, semua orang ada rezeki masing-masing dan ia akan sampai bila tiba masanya," katanya.

Mengenai perkembangan karier seninya pula, kata Amir, dia akan melebarkan sayapnya ke Indonesia tahun ini,

"Saya akan terbabit dengan penggambaran filem genre seram di Indonesia selama sebulan. Saya akan melakonkan watak pembantu yang tidak kurang menariknya.

"Saya harap ia permulaan untuk saya mengembangkan bakat lakonan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bukan saja di Indonesia, Amir berkata, dia juga memasang impian untuk menempa nama di Hollywood pada masa depan.

"Buat masa ini, belum ada tawaran untuk berlakon di Hollywood lagi. Tapi, saya memang suka pasang impian dari kecil lagi. Contohnya, saya sudah pasang impian untuk berlakon dan memenangi anugerah dan ia menjadi nyata hari ini.

"Saya harap anda semua terus berusaha untuk mengejar impian dan cita-cita dalam hidup dengan hanya menjadi diri sendiri," katanya.

Mengimbas latarnya, Amir memulakan kerjaya sebagai pelakon dengan membintangi drama bersiri Akim & Mira: Kisah Cinta 1999 tahun lalu.

Anak sulung daripada sembilan beradik ini juga bermula sebagai pelakon tambahan sebelum menempa nama menerusi Projek: High Council.

Selain itu, dia turut berlakon dalam drama bersiri Perempuan Itu yang menampilkan Zul Ariffin dan Mimi Lana untuk saluran Tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 6:00 AM