DRAMA Budak Hostel Otaknya Sewel ada tarikan tersendiri.
DRAMA Budak Hostel Otaknya Sewel ada tarikan tersendiri.
Norhayati Nordin


ZAMAN persekolahan adalah paling menyeronokkan dalam hidup. Walaupun ada kala kurang selesa dengan mata pelajaran dipelajari, namun kehadiran rakan di sekeliling cukup membuat hati gembira dan bahagia.

Apatah lagi, sekiranya berpengalaman tinggal di sekolah berasrama. Sudah tentu pelbagai nostalgia pernah dilalui itu hingga kini sukar dilupa terutama rutin harian bersama rakan-rakan.

Perkara itu dikongsikan lima bintang utama drama bersiri 16 Episod, Budak Hostel Otaknya Sewel antaranya Tuah Adzmi sebagai Akil, Baihaqi Majid (Mat Piah), Adam Eji (Widad), Izz Ilham (Cupin) dan Zarul Iman (Borhan).

Menariknya, semua pelakon ini pertama kali digandingkan dan mengakui masing-masing kekok untuk saling berkomunikasi pada awal pertemuan. Namun, mereka tidak sangka akhirnya menjadi rakan baik.

Malah, menyedari kemungkinan kisah dalam Budak Hostel Otaknya Sewel akan dibanding dengan drama popular, Projek: High Council yang juga memaparkan kisah pelajar asrama, ia diakui ada beza dan wajar ditonton dahulu.

Ikuti temu bual RAP bersama lima pelakon itu mengenai pengalaman mereka selepas disatukan dalam Budak Hostel Otaknya Sewel arahan Nurhanisham Muhamad atau Labu. Drama arahan Nurhanisham Muhamad atau Labu dan terbitan Radius One Sdn Bhd disiarkan di Astro Ria padat dengan kisah lucu serta mencuit hati.

TUAH sebagai Akil.
TUAH sebagai Akil.

Tuah gementar jadi pelakon

Memulakan karier sebagai penyanyi, Tuah Adzmi mengakui dia gementar dan takut untuk melakonkan watak Akil yang juga peranan utama dalam Budak Hostel Otaknya Sewel.

"Saya tak ada pengalaman sebagai pelakon langsung, tetapi ada minat untuk mencuba nasib bagi menimba pengalaman baharu. Saya mengikuti uji bakat dan tak sangka dipilih.

"Di lokasi penggambaran, melihat rakan pelakon lain seperti Baihaqi, Adam, Izz dan Zarul melakonkan watak mereka dengan baik, saya jadi bimbang kalau tak dapat buat sebaik mereka. Saya takut menyusahkan orang lain.

"Apa pun, saya banyak bertanya dan berbincang dengan pengarah yang membantu beri tunjuk ajar. Harapan saya supaya penonton terhibur dan menerima lakonan saya dengan baik. Saya sudah berusaha," katanya.

Menurut Tuah banyak pengalaman menariknya sebagai Akil yang secara tidak langsung memberi peluang dirinya menjadi budak asrama. Katanya, sangat seronok kerana dikelilingi rakan yang pelbagai ragam dan perangai.

BAIHAQI bawa watak Mat Piah.
BAIHAQI bawa watak Mat Piah.

Baihaqi teruja watak Mat Piah

Minat berlakon sehingga sanggup mengikuti kelas teater, Baihaqi tidak menafikan keputusan dibuatnya tepat. Katanya, dia gembira dapat menimba ilmu lakonan dan pengalaman berlakon di pentas teater sebelum beralih pada drama TV.

"Namun, watak saya sebagai Mat Piah dalam Budak Hostel Otaknya Sewel ini sesuai untuk dibawakan. Ini kerana, di sebalik sikap nakal, Mat Piah ada semangat setiakawan yang tinggi.

"Sebagai seorang ahli Geng Colombia bersama Akil, Cupin dan Widad yang bersahabat baik, Mat Piah peka dengan situasi rakan lain. Jika sesama kami bergaduh, Mat Piah bertindak tenangkan semua orang.

"Tapi, Mat Piah pantang nampak makanan sebab dia suka makan, selain suka pada seorang gadis secara diam-diam. Jadi, bagi saya drama Budak Hostel Otaknya Sewel ini mengimbau kenangan zaman persekolahan," katanya.

Mengulas juga kerjasama dengan rakan pelakon lain, Baihaqi berkata, dia tidak sangka mereka sekepala serta boleh membentuk keserasian dengan cepat dan mudah.

ADAM dengan karekter Widad.
ADAM dengan karekter Widad.

Adam dikenali di TikTok

Bagi pengguna TikTok semestinya tidak asing dengan Adam Eji yang aktif membuat 'content' video di akaun media sosial itu. Apa pun, Adam tak sangka dia mendapat kepercayaan menjadi pelakon drama.

"Saya melakonkan watak Widad iaitu seorang yang kasar dan bersikap melindung terhadap kawan-kawan. Apatah lagi, Widad adalah orang kanan Akil selaku ketua Geng Colombia.

"Pengalaman berlakon drama ini sebenarnya tidak mudah juga. Kami perlu betul-betul memahami karakter yang dibawa. Sebagai pelakon baharu, saya kena buat kerja lebih sedikit seperti kaji watak dilakonkan itu.

"Saya bernasib baik, rakan-rakan lain banyak membantu berkongsi ilmu dan setiap kesukaran dilalui bersama. Sekarang, hubungan kami semua bagaikan satu keluarga dan Budak Hostel Otaknya Sewel ini antara karya terbaik untuk tontonan semua," katanya.

Adam berkata, dia juga selesa memilih bersendiri untuk lebih memahami karakter. Katanya, dia berharap drama bersiri berkenaan menambat hati penonton.

IZZ seronok jadi Cupin.
IZZ seronok jadi Cupin.

Izz sedia terima teguran

Sebelum ini dikenali dengan drama Budak Tebing 3, Izz Ilham bersyukur bakat lakonannya kini semakin diterima. Katanya, rezeki tawaran berlakon pun sudah mula diperoleh dan dia tidak bersikap memilih watak.

"Setakat ini, rasanya saya menerima watak yang sesuai dan boleh dilakonkan dengan baik. Saya juga sedia terima teguran dan tunjuk ajar daripada semua orang di lokasi kerana kami bekerja dalam satu kumpulan.

"Walaupun sudah berlakon beberapa drama, tapi pengalaman saya pun masih tidak banyak lagi. Cuma saya betul-betul gembira sepanjang terbabit penggambaran Budak Hostel Otaknya Sewel ini kerana tidak terasa masa berlalu pantas. Tahu-tahu, kami nak habis 'shooting'," katanya melakonkan watak Cupin.

Izz berkata, dia berbesar hati sekiranya dapat bekerjasama lagi dengan semua rakan pelakon lain pada masa akan datang. Katanya, mereka juga sehingga kini masih saling berhubung bertanya khabar.

ZARUL lakon watak Borhan.
ZARUL lakon watak Borhan.

Zarul jadi antagonis 'poyo'

Melakonkan watak Borhan dari 'geng' nakal yang lain, Zarul berkata, dia berpihak antagonis yang sentiasa mencari peluang untuk mengenakan Akil dan kawan-kawannya. Ini kerana, Borhan berasa dia adalah pelajar hebat.

"Karakter Borhan ini 'poyo' dan suka tunjuk diri bagus sebab dia ketua pelajar di sekolah. Dia (Borhan) juga anak emas kepada guru kerana selalu menang dalam pertandingan dan mengharumkan nama sekolah.

"Bagaimanapun, sasaran utama Borhan adalah Akil. Dia sentiasa mencari jalan memberi masalah dan mengenakan Akil apabila tahu saingannya itu ada meminati seorang gadis. Borhan tak lepaskan kesempatan itu," katanya.

Zarul berkata, banyak aksi lucu pada watak Borhan itu termasuk dua ahli gengnya. Jelas Zarul lagi, apa yang pasti kenakalan pelajar dalam Budak Hostel Otaknya Sewel sama sekali berbeza daripada drama Projek: High Council.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:20 AM