Kereta Perodua Bezza dinaiki empat beradik remuk apabila dirempuh treler di simpang Bahagia, Jertih. FOTO ihsan pembaca
Kereta Perodua Bezza dinaiki empat beradik remuk apabila dirempuh treler di simpang Bahagia, Jertih. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


"JIKA ikutkan mereka dalam perjalanan menghantar kuih raya kepada tok wan mereka yang tinggal di Besut," kata bapa mangsa, Azman Awang, 58.

Dua anak Azman iaitu Amirah Faqihah, 18, dan Aishah Asmaa, 14, maut di tempat kejadian manakala Aidil Wajdi, 17, serta Arif Muzammil, 16, parah selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Kampung Bahagia, di Jertih selepas kereta dinaiki mereka dirempuh treler, 2.50 petang tadi.

Azman berkata, anak keduanya, Amirah Faqihah, sejak beberapa hari lalu tekun menyiapkan beberapa jenis kuih raya untuk diagihkan kepada ahli keluarga termasuk tok wannya.

"Ketika mereka bertolak dari rumah di Kampung Saujana jam 2.30 petang kebetulan saya ada (di rumah) dan Amirah paling teruja nak hantar kuih pada tok wannya.

"Mengikut perancangan asal mereka hanya pergi sekejap tidak bermalam di sana (Besut) kerana mahu pulang terus ke rumah," katanya.

Katanya, pasangan adik beradik yang terbabit dalam kemalangan itu adalah anak kedua, ketiga, keempat dan kelima daripada sembilan beradik.

"Dua anak saya, Amirah Faqihah dan adiknya Aishah Asmaa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Saujana, esok.

"Sementara dua lagi anak saya Aidil Wajdi dan adiknya, Arif Muzammil yang parah akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan maut itu membabitkan dua kenderaan antara kereta Perodua Bezza dengan treler jenis Nissan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler berusia 30 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuantan tidak sempat mengelak sebelum terlanggar sisi kanan kereta dipandu keluar secara tiba-tiba dari simpang Kampung Bahagia," katanya.

Afandi berkata, pemandu kereta, Amirah Faqihah dan penumpang belakang kanan, Aishah Asmaa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala penumpang hadapan, Aidil Wajdi, dan penumpang belakang kiri, Arif Muzammil parah dan diletakkan di Zon Merah Hospital Daerah Setiu," katanya turut memberitahu, ketika kejadian hujan lebat.

Katanya, kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 8:21 PM