KEADAAN Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam yang digenangi air meskipun sudah empat hari hujan lebat. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
KEADAAN Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam yang digenangi air meskipun sudah empat hari hujan lebat. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Masalah perparitan di Kampung Sungai Pergam di sini, sudah berlarutan lima tahun, dan malangnya apabila isu itu memudaratkan lebih 200 penduduk yang ada antaranya petani.

Mereka mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian apabila tanaman pokok pisang ditenggelami banjir kilat disebabkan sistem perparitan tidak terurus.

Selain tanaman rosak, tanah perkuburan juga terjejas apabila berlaku limpahan air parit sehingga menyukarkan penggali kubur.

Dakwa penduduk, sehingga kini belum ada penyelesaian konkrit dilakukan pihak berkuasa.

Penduduk hanya ingin dikenali sebagai Mujip, 30-an, berkata, dia kecewa kerana sejumlah besar pokok pisang yang baru ditanam Februari lalu tenggelam akibat limpahan air parit.

"Terbaharu, hujan lebat berterusan pada 6 Jun lalu menyebabkan ladang yang saya pajak di Parit 1 Sungai Pergam dinaiki air.

"Walaupun memasuki hari keempat selepas hujan itu, air surut sangat lambat.

"Sebanyak 2,000 daripada 6,000 pokok pisang yang saya tanam terjejas dengan daunnya bertukar kekuningan dan berisiko mati," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dia sedih belum sempat untuk merasai hasil tuai apabila tanamannya rosak digenangi air.

Mujib berkata, kos tanaman dan penjagaan setiap pokok lebih RM50 dan menganggarkan kerugian cecah ribuan ringgit.

Bagi penggali kubur, Ahmad Samrin Siyun, 50, isu perparitan dihadapi penduduk kampung itu membingungkan kerana kesannya turut terlihat pada Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam.

Katanya, setiap kali tanah perkuburan itu tenggelam, dia dan rakannya, perlu menggunakan pam air bagi mengeluarkan air bertakung, namun ia bukan penyelesaian baik memandangkan masalah itu kerap berlaku kerana parit kerap dipenuhi air.

"Pada 8 Jun lalu ada kematian, tiga jam juga kami pam air keluar. Memang bukan kerja yang mudah kerana apabila kita gali tanah, air sekeliling masuk ke liang lahad dan melambatkan kerja.

"Kalau ada kematian memang rasa susah hati. Oleh itu saya harap pihak JPS dapat mencari solusi untuk atasi masalah parit di kampung kami ini," katanya.

Bagi warga emas, Wakjar Osman, 72, dia hairan banjir kilat yang berlaku baru-baru ini memasuki rumahnya di Parit 7 Sungai Pergam buat pertama kalinya.

"Sebelum ini, jika musim tengkujuh pada setiap hujung tahun, air cuma naik di kawasan halaman rumah. Tetapi kali ini, banjir sampai ke dalam rumah, paras buku lali.

"Susah nak bersihkan dan cuci karpet yang habis tenggelam dengan usia saya dah lanjut ini.

"Saya rasa puncanya adalah parit yang sudah lama tidak diselenggara atau dicuci daripada tumbuhan dan sampah yang tersangkut.

"Harapnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) boleh memperdalamkan juga parit di sini supaya kejadian banjir kilat ini tak berulang lagi," katanya.

>>Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 8:00 AM