Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Sekurang-kurangnya lima keluarga di Parit 7 Sungai Pergam, di sini terkesan akibat banjir kilat yang melanda susulan hujan lebat berpanjangan sejak awal pagi, hari ini.

Menurut penduduk, Rapiah Chiyun, 76, ini kali pertama kawasan rumahnya dilimpahi air parit di hadapan di hadapan kediamannya.

Rapiah yang menghidap gout sejak lima tahun lalu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan tinggal berseorangan selepas kematian suaminya pada 2014.

Katanya, dia berasa terkejut selepas melihat air masuk kawasan rumah sebaik bangun dari tidur pada 5 pagi.

"Mujurlah adik yang tinggal bersebelahan datang membantu mengangkat barangan.

"Anak dan menantu tinggal di Slim River pun balik siang tadi untuk bantu uruskan saya.

"Pada sebelah petang air di kawasan beranda belum surut, kalau malam ni hujan lebat lagi, entah bagaimana pula keadaannya esok," katanya ketika ditemui di sini.

KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam turut ditengelami air. FOTO Muhammad Lokman Khairi.
KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam turut ditengelami air. FOTO Muhammad Lokman Khairi.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Samrin Siyun, 50, berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada parit yang sudah lama tidak diselenggara sehingga mengakibatkan saliran terganggu dan air yang bergenang lambat surut.

"Kali terakhir pihak berkuasa membersih parit ini lima tahun lalu, Boleh jadi banjir ini berlaku kerana parit di kawasan kami ini sudah lama tidak didalamkan semula," kata bapa kepada lima orang anak itu.

Tinjauan ke lokasi berdekatan mendapati bukan rumah sahaja yang terkesan dengan masalah perparitan, malah Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam, di sini juga digenangi air hujan sehingga paras betis.

Ahmad Samrin berkata, kejadian di tanah perkuburan itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan paling membingungkan apabila ada kematian pada musim tengkujuh.

"Jika pakai mesin pengepam untuk sedut keluar air pun sukar kerana kawasan perkuburan ini luas dan prosesnya memakan masa yang lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 11:43 PM