TINJAUAN masalah tempat letak kenderaan dihadapi penduduk Pangsapuri PKNS, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. FOTO AMIRUDIN SAHIB
TINJAUAN masalah tempat letak kenderaan dihadapi penduduk Pangsapuri PKNS, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Keindahan landskap Kampung Baru yang kini digelar 'syurga makanan' menarik ribuan pelancong untuk berkunjung ke penempatan itu setiap kali melawat ke ibu kota.

Namun, di sebalik kemeriahan kawasan itu yang tidak lekang dikunjungi pemburu makanan khususnya dari Pantai Timur, ada ribuan penduduk yang 'menderita' akibat kekurangan parkir kenderaan.

Malah, ada yang terpaksa menunggu hampir sejam untuk tiba di rumah kerana ruangan parkir terhad dan 'diambil' pengunjung.

Walaupun sudah tertera papan tanda parkir hanya dibenarkan untuk penduduk yang mempunyai pelekat khas, namun ada pengunjung yang tetap berdegil dan mengambil ruangan parkir semata-mata untuk 'mengisi' perut mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri 17 Tingkat, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Mohd Zakaria Maidu, 69, berkata, penduduk bukan tidak berbangga kerana mempunyai rumah berdekatan dengan 'syurga makanan' dan kawasan pelancongan ibu kota.

Tetapi, katanya, keadaan itu juga menyebabkan mereka menderita kerana terpaksa berpusing puluhan kali untuk mendapatkan parkir.

"Kami terpaksa berebut dengan pengunjung, jika tiada pilihan kami terpaksa parkir berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru.

"Akibatnya, kami dikenakan saman oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi kami tiada pilihan kerana ruangan parkir sangat terhad.

"Sudahlah terhad, terpaksa pula berebut dengan pengunjung, keadaan ini bertambah buruk sebaik wujudnya Pintasan Saloma kerana ada di antara mereka yang sanggup parkir di kediaman kami semata-mata untuk ke sana," katanya.

Mohd Zakaria yang sudah tinggal di sana lebih 35 tahun berkata, pihaknya pernah memanjangkan aduan itu kepada DBKL dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dengan mencadangkan supaya dibina parkir bertingkat di kawasan tanah lapang berdekatan.

"Mereka yang mahu ke Kampung Baru juga perlu menaiki khidmat bas ulang alik untuk ke Kampung Baru bagi mengatasi kesesakan dan isu kekurangan parkir.

"Ini antara cadangan kami kepada PKB, namun sehingga hari ini belum ada sebarang maklum balas daripada mereka.

"Bayangkan dari pintu gerbang Kampung Baru ke rumah jaraknya hanya 500 meter dan dalam tempoh lima minit kami sepatutnya sudah sampai.

"Namun, kami pernah 'tersangkut' hampir sejam kerana kesesakan berikutan orang ramai parkir di bahu jalan," katanya.

Bagi Pengerusi KRT Pangsapuri 17 Tingkat, Mohd Haniff Bahari, 33, berkata, dia yang sudah tinggal hampir 10 tahun di situ terpaksa 'menelan' keadaan itu kerana sudah memilih untuk tinggal di situ.

"Biasanya apabila bila ada kenderaan tidak mempunyai pelekat khas parkir di kawasan kami, kereta itu akan dikunci tayar dan pemiliknya perlu membayar RM50 untuk membukanya.

"Namun, ia menyebabkan ada antara kami terpaksa bergaduh dengan pengunjung yang marah kerana dikenakan tindakan itu, tetapi kami tiada pilihan dan terpaksa demi menjaga keharmonian penduduk setempat," katanya.

Mohd Haniff berkata, dia sangat berharap ada tindakan segera daripada pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.

"Terdapat 282 unit rumah di dua blok pangsapuri ini yang dianggarkan mempunyai 1,200 penduduk. Bayangkan untuk parkir penduduk pun tidak mencukupi, terpaksa pula berebut dengan orang luar.

"Bantulah kami supaya ada jalan penyelesaian bagi kesejahteraan semua penduduk di sini.

"Bukan kami tidak bangga tinggal di Kampung Baru, kami sangat bangga, tetapi keadaan ini juga membuatkan kami tertekan.

"Mahu pulang ke rumah sendiri pun mengambil masa lebih sejam terutama Sabtu Ahad, diharap ada penyelesaian daripada pihak berkaitan," katanya.

Ditanya kenapa tidak menggunakan sistem parkir palang, Mohd Haniff berkata, penduduk tidak mampu untuk membayar yuran penyelenggaraan jika sistem itu dilaksanakan.

"Ia pastinya memberikan sedikit beban kepada penduduk, nak kutip yuran penyelenggaraan pun sukar, ini pula mahu menggunakan sistem berpalang," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:05 AM