Muhd Izawan Baharin dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Sepanjang hidup, saya jarang menangis, tetapi apabila melihat video intim isteri dengan lelaki lain, saya tidak mampu menahan air mata daripada menitik."

Itu pengakuan seorang suami apabila melihat isterinya yang bekerjaya curang sehingga mempunyai beberapa video intim.

Lelaki berusia 40-an itu mengakui sukar menerima perlakuan isterinya yang curang dengan rakan sekerja namun demi anak, dia sanggup melupakan dan menerima wanita itu kembali.

"Kalau ikutkan saya mahu bercerai namun saya fikir anak yang masih kecil, saya telan apa sahaja perlakuan isteri dan sudi memaafkan dia demi anak-anak.

"Saya lihat isteri juga sudah berubah dan kerap solat sunat taubat, tetapi jauh di hati, saya tetap trauma kerana bimbang dia mungkin berhubung lagi dengan rakan sepejabatnya itu," katanya.

Menurutnya, kecurangan isterinya terbongkar selepas dia mengesyaki sesuatu berlaku apabila sikap wanita itu berubah mendadak sebelum dia merujuk kepada peguam syarie untuk mendapatkan bantuan.

Lelaki itu berkata, isterinya sangat kerap bergayut di telefon dan sanggup berada lama dalam kereta walaupun selepas pulang dari tempat kerja.

"Dia pergi mana-mana, dia suka ambil gambar padahal sebelum itu perlakuannya tidak sebegitu.

"Sikapnya juga berubah mendadak, menjadi panas baran, tidak peduli anak-anak selain kerap keluar rumah kononnya ada urusan kerja sehingga mengundang syak wasangka saya," katanya.

Dia berkata, selepas kesnya dirujuk ke mahkamah, baru segala bukti terbongkar malah lebih memilukan, dia pernah berjumpa dengan lelaki itu yang datang berkelah bersama keluarganya di sebuah tempat peranginan di utara tanah air.

"Boleh pula kami menyewa chalet bersebelahan, dia bersama anak dan isterinya manakala saya bersama isteri dan anak-anak.

"Masa itu saya tidak syak apa-apa namun selepas hubungan mereka terbongkar, baru saya tahu mungkin mereka sudah merancang untuk berjumpa hingga lelaki itu sanggup datang dari jauh. Saya juga dapat tahu isteri menipu kononnya ada kursus di luar, tetapi sebenarnya bercuti bersama lelaki itu," katanya.

Menurutnya, dia juga terkejut apabila isterinya diugut supaya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 untuk lelaki itu jika tidak mahu rakaman video intim tersebar.

"Saya sudah mendapatkan nasihat perundangan untuk menyelesaikan masalah ini dan sehingga kini, saya masih berhubung dengan peguam untuk mendapatkan nasihat dan kata-kata semangat. Kalau ikutkan hati memang marah, macam-macam boleh jadi, tetapi apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil, saya bersabar dan berdoa diberi kekuatan berdepan ujian ini," katanya.

Mula mesra di tempat kerja bawa ke ranjang

Bermula dengan kemesraan di tempat kerja akhirnya sampai ke ranjang.

Itu situasi membimbangkan yang berlaku dalam kalangan wanita bekerjaya berstatus isteri orang yang terjebak skandal di tempat kerja.

Malah dalam keadaan tertentu, aksi ranjang dirakam dan menjadi modal ugutan untuk memerangkap wanita terbabit supaya meneruskan hubungan terlarang selain mudah bagi si 'hidung belang' mendapatkan wang.

Mendedahkan kebimbangan itu, peguam syarie Shazril Khairy Mustafa berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan isteri orang menjadi sasaran lelaki 'hidung belang' yang sudah berumah tangga.

"Berdasarkan kes yang saya terima, antaranya niat si pelaku ialah mahukan cabaran kerana anak dara mudah dipikat namun berbeza dengan wanita yang sudah berumah tangga.

"Ekonomi wanita yang berstatus isteri orang dan berkerjaya juga kukuh, jadi mereka boleh menjadi sumber kewangan.

"Si pelaku juga merasakan boleh mengelak daripada tanggungjawab terutama apabila terlanjur kerana wanita itu sudah bersuami selain berpengalaman melayan kehendak lelaki," katanya.

SHAZRIL Khairy. FOTO Shahrul M Zain
SHAZRIL Khairy. FOTO Shahrul M Zain

Beliau berkata, firmanya mengendalikan antara lima hingga 10 kes sebulan berkaitan kecurangan isteri selepas suami tampil membuat aduan apabila skandal di tempat kerja terbongkar.

"Ini kes yang saya kendalikan, saya tidak tahu berapa kes sama yang diterima firma guaman lain.

"Trend ini amat membimbangkan dan saya lihat makin berleluasa terutama membabitkan penjawat awam.

"Kebiasaannya kita terima aduan daripada suami yang syak isterinya curang selepas hubungan mereka menjadi renggang, jarang bercakap, isteri pula asyik pegang telefon dan kerap keluar rumah," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kes itu membabitkan wanita yang berjawatan dan berusia antara 35 hingga 40-an.

"Mereka selalu menghabiskan masa dari pagi hingga petang di pejabat manakala waktu di rumah hanya sekadar untuk berehat selepas bekerja.

"Berdasarkan pengalaman, terdapat beberapa faktor yang mendorong terjadinya kecurangan di tempat kerja dan pertamanya ikhtilat iaitu keakraban rakan berlainan jantina di tempat kerja.

"Kemesraan yang keterlaluan dengan rakan lelaki boleh menimbulkan perasaan suka ditambah pula apabila lebih banyak masa dihabiskan dengan orang lain berbanding suami dan anak-anak," katanya.

Shazril Khairy berkata, beliau tidak menafikan adanya unsur pertaruhan dalam kalangan rakan sepejabat untuk memikat wanita sekerja.

"Saya nampak benar berlaku perkara ini, semacam ada pertaruhan untuk memikat isteri orang. Ini sesuatu yang sangat membimbangkan," katanya.

Katanya, apabila menerima aduan mengenai masalah kecurangan pasangan, pihaknya akan mencadangkan notis kembali taat kerana mahu menyelamatkan rumah tangga berkenaan.

"Saya boleh katakan 50-50. Ada kes berakhir dengan perceraian dan ada juga isteri kembali kepada suami namun trauma yang dialami sukar dilupakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya wanita yang bekerjaya menjaga ikhtilat, jangan mudah berkongsi masalah dengan lelaki lain dan apa-apa rahsia hanya berkongsi dengan suami atau ahli keluarga terdekat.

'Ada juga silap suami jika isteri curang'

Isteri yang terjebak dalam skandal di tempat kerja tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana suami juga ada melakukan kesilapan dalam rumah tangga hingga mengundang kecurangan.

Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, apabila usia perkahwinan menginjak 10 tahun atau lebih, ramai suami berperwatakan seperti robot di rumah, hilang sifat romantik dan banyak menumpukan perhatian kepada gajet.

"Saya akui kes skandal di tempat kerja banyak berlaku. Saya sendiri terima tujuh hingga lapan kes sebulan yang mana si isteri datang membuat aduan serta mendapatkan kaunseling.

"Daripada temu bual itu, boleh dikatakan antara faktor mendorong berlakunya kecurangan dalam kalangan isteri terutama yang bekerjaya ialah perubahan sikap suami yang tidak lagi romantik, tiada lagi sentuhan manja, senda gurau, menjadi pendengar yang baik dan gagal memberi nafkah.

"Kaum wanita ini emosinya halus dan sentiasa mahukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi perasaan tetapi apabila suami gagal memenuhi kehendak itu ditambah pula tiba-tiba dia bertemu dengan rakan sepejabat yang mampu memegang watak sebagai pendengar yang baik, maka tidak hairanlah tercetusnya hubungan terlarang," katanya.

HUSHIM. FOTO Arkib NSTP
HUSHIM. FOTO Arkib NSTP

Katanya, apa yang malang ialah kebanyakan kes dikendalikannya berhubung kecurangan di tempat kerja berakhir dengan perceraian.

"Situasi ini amat membimbangkan dan dalam banyak keadaan, perkara ini berlaku kerana mereka datang mendapatkan kaunseling selepas situasi sudah parah. Tidak banyak bantuan yang boleh dilakukan kalau keadaan terlalu teruk.

"Kaunseling perkahwinan ini bukan hanya perlu dilakukan apabila ada masalah sahaja sebaliknya di awal usia pernikahan lagi kerana ilmu rumah tangga ini tidak cukup sekadar hadiri kursus perkahwinan selama dua hari," katanya.

"Pengaruh besar media sosial dalam kehidupan selain perubahan corak hidup menyebabkan ilmu rumah tangga ini penting dipelajari kerana soal perkahwinan bukan saja membabitkan suami isteri saja malah masa depan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 12:00 PM