YOUNG idam takluk peminat dunia.
YOUNG idam takluk peminat dunia.
Georgie Joseph

Baru menapak dalam industri hiburan sejak tahun lalu, penyanyi Filipina, Young Cocoa memiliki cerita menarik tersendiri. Bahkan, ia bukan cerita biasa, namun cukup bermakna besar.

Young, 24, tidak pernah menyangka bahawa lagunya juga disukai anggota BTS iaitu RM. Penyanyi rap terbabit memasukkan lagunya berjudul Manila dalam senarai wajib dengarnya.

Justeru, hal itu semestinya memperkenal lagi namanya ke seluruh dunia apalagi BTS adalah kumpulan paling popular global. Young mengakui awalnya, dia tidak percaya mengenai perkara itu.

"Kelakarnya, saya ingat-ingat lupa apabila diberitahu seseorang bahawa sebuah lagu lama saya ada dalam senarai wajib dengar BTS. Saya tidak endahkan dan berfikir ia tak benar.

"Kemudian, selepas itu saya cuba mendapatkan kepastian dan terbukti hal itu betul. Memang rasa seperti bermimpi dan sekarang pun masih tidak sangka," katanya.

Menjadi bakat baharu dan masih jauh perjalanan, Young melihat peluang keemasan begitu amat penting. Dia akui mendapat motivasi besar dan yakin karyanya juga memiliki kualiti tersendiri.

"Hal itu sangat besar maknanya kerana mereka (BTS) sangat berpengaruh dan memiliki platform cukup gah. Hati jadi lebih senang mengetahui muzik saya termasuk dalam julat cita rasa muzik mereka.

"Perasaan itu sangat istimewa kerana sebenarnya lagu saya juga ada kedudukannya di sebuah tempat tertentu. Paling istimewa, ia didengari siapa lagi kalau bukan BTS," katanya.

TERUJA lagunya berjudul Manila masuk dalam senarai didengari BTS.
TERUJA lagunya berjudul Manila masuk dalam senarai didengari BTS.

Terbaharu tampil dengan lagu Zesto, Young sentiasa mengutamakan elemen asal usulnya sebagai yang terpenting untuk memberikan identiti kepada karyanya.

"Apa yang membuatkan lagu ini istimewa adalah ia meneruskan misi wajib saya untuk memasukkan elemen berkait asal usul dalam muzik saya. Ia bukan sekadar meluahkan perasaan mengenai topik musim panas.

"Saya percaya, bekerja dengan penerbit muzik dari Korea juga menjadi aspek menarik dalam penghasilannya. Saya mendapat rentak dan bergabung sempurna dengannya meskipun tak pernah bersemuka," katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam industri muzik, Young tidak menafikan jiwa seni itu baharu meresap sekitar tahun ini. Dari situ dia nekad teruskan karier muzik selain menjenamakan diri dengan nama unik sekarang.

"Idea untuk menjadi artis sepenuh masa tercetus sekitar tahun lalu. Dan ia perlahan-lahan menjadi realiti pada tahun ini kerana aspirasi saya semakin berkembang selepas muzik saya berjaya menyentuh pendengar.

"Saya memilih nama Young Cocoa pun disebabkan berpunca daripada melawak. Cocoa nampak sesuai dengan saya kerana memiliki kulit sedikit gelap serta ia kedengaran kelakar," katanya.

Bercerita mengenai visi akan datang, Young menaruh harapan tinggi untuk muziknya mampu tembusi pasaran Asia dan global. Dia juga mengimpikan untuk bekerjasama dengan ramai artis dan pemuzik berbakat seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:40 AM