PASANGAN suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pratempahan melalui Facebook (FB).
PASANGAN suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pratempahan melalui Facebook (FB).
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tragedi ikan beracun bukan perkara baru sebaliknya pernah berlaku menyebabkan lima beradik maut serentak 49 tahun lalu.

Dalam kejadian 1 Disember 1974, Noraini Kassim, 11, Mohd Syukur, 8, Rohana, 6, Hijrah, 4, dan Norasyikin, 3, tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia selepas menikmati lauk asam pedas telur ikan kurau sebagai hidangan tengah hari.

Kejadian berlaku di Kampung Kandang, Melaka dan mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lintang.

Sehingga kini kubur mereka menjadi perhatian apabila terdapat papan tanda 'Kubur lima beradik mangsa telur ikan kurau'.

Memetik media tempatan yang menemuramah adik bongsu pada 2017, Makmor Kassim, 49, berkata, adik-beradiknya meninggal dunia selepas memakan masakan telur ikan kurau.

Kejadian itu juga menyebabkan bapa mereka, Kassim Alauddin dikejarkan ke hospital termasuk ibu mereka, Fatimah Hussein serta tiga adik-beradik Makmor dan beberapa orang lagi terdiri daripada ibu saudara dan sepupu mereka.

"Saya tidak berapa ingat sangat kejadian itu kerana baru berusia enam bulan. Tetapi dari apa yang diceritakan ayah dan emak, ia benar-benar mengemparkan masyarakat pada masa itu.

"Kejadian itu sukar untuk kami adik-beradik lain lupakan apatah lagi emak. Dia selalu sebak bila kisah keluarga kami ini disebut kembali. Mana ada ibu bapa yang tidak sedih apabila hilang lima anak sekali dalam satu masa," katanya.

Menurutnya, daripada apa yang diceritakan, bapa mereka membeli telur ikan kurau untuk dijadikan lauk.

"Ia berpunca daripada telur ikan yang dikatakan beracun. Ada 11 ahli keluarga kesemuanya terbabit termasuk beberapa mak saudara berhampiran yang makan asam pedas telur ikan itu. Malangnya, lima adik-beradik saya meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri. Yang lain menerima rawatan di hospital," katanya.

Kelmarin Harian Metro melaporkan seorang wanita maut, manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, Johor selepas makan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

Mangsa mula mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada 3 petang dan dibawa ke hospital oleh anaknya.

Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada 5 petang, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 7 malam, manakala suaminya dirawat di ICU.

Pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pratempahan melalui Facebook (FB).

Sebaik diterima pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan berasaskan ikan buntal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:45 AM