(kiri) Nurul Natashaina selepas bersalin di dalam kereta. (kanan) Nurul Natashaina bersama suami dan dua anaknya. FOTO Ihsan Nurul Natashaina
(kiri) Nurul Natashaina selepas bersalin di dalam kereta. (kanan) Nurul Natashaina bersama suami dan dua anaknya. FOTO Ihsan Nurul Natashaina
Noor Hidayah Tanzizi

Sibu: "Saya terkejut dan cemas sehingga terlupa mahu menyelimutkan bayi dengan kain selepas melahirkan, malah tak sangka akan melalui detik mendebarkan yang akan menjadi kenangan tidak dapat dilupakan," kata Nurul Natashaina Mohd Mokhtar.

Suri rumah berusia 31 tahun itu berkongsi detik mendebarkan apabila dia terpaksa bersalin dan menyambut anak keduanya sendiri di dalam kereta suami pada 7.40 pagi, 10 Januari lalu.

Wanita yang tinggal di Rantau Panjang Jaya, di sini bersalin awal daripada tarikh jangkaan sepatutnya iaitu 23 Januari lalu.

Kisah itu mendapat perhatian di TikTok apabila Nurul Natashaina berkongsi pengalamannya melahirkan Makayla Ar Raisha Mohamad Ridzhal yang kini berusia dua bulan di akaun media sosial miliknya, semalam.

Berkongsi kisah itu, ibu dua anak perempuan itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta untuk melahirkan dengan di bawa suami, Mohamad Ridzhal Saifuldin, 31, bersama anak sulung mereka Malaiqa Ar Raisha, 2.

Menurutnya, sebelum itu, dia yang menunggu 'hari' mula berasa sakit kontraksi melahirkan pada 4.30 pagi dan menyedari ada lendiran darah pada 7 pagi sebelum suami membawanya ke hospital.

"Kebetulan tarikh sama juga saya ada temujanji pemeriksaan kandungan untuk bertemu doktor. Apabila sudah mula rasa kontraksi, memang dapat mengagak saya akan melahirkan.

"Ketika dalam perjalanan sakit kontraksi sudah tiada cuma memang ada rasa mahu melahirkan dan perjalanan dari rumah ke hospital yang hanya mengambil masa 20 minit menjadi 40 minit.

"Kerana ketika itu adalah hari Selasa jadi waktu pagi adalah waktu puncak orang ke tempat kerja selain kami perlu menempuh empat lampu isyarat sebelum sampai ke hospital," katanya, hari ini.

Katanya, suaminya terpaksa menghentikan kereta di Jalan Dr Wong Soon Kai kerana mahu meminta kenderaan lain memberi laluan kepada mereka dan ketika itu dia yang sedang duduk di tempat duduk penumpang belakang melahirkan anak.

"Ketika suami keluar dari kereta saya berasa mahu melahirkan dan dengan sekali teran saya selamat melahirkan bayi perempuan dan menyambutnya sendirian dalam kereta.

"Bayi kami ketika itu tidak menangis hanya teriak sekali saja dan berada dalam keadaan sedar," kata wanita berasal daripada Johor itu yang mengikut suami yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas di Sibu.

Menurut Nurul Natashaina, selepas suami masuk ke dalam kereta, dia terus memberitahu yang anak mereka sudah dilahirkan sebelum suaminya yang cemas segera memandu ke hospital.

"Ketika itu lagi 10 minit saja mahu sampai ke hospital dan suami yang memandu, berulang kali bertanya keadaan kami. Sepanjang perjalanan itu kenderaan lain memberi lalu dan bantuan dengan membunyikan hon untuk melancarkan perjalanan.

"Ketika sampai di bahagian kecemasan pihak perubatan memeriksa kami dan memotong tali pusat anak sebelum kami di bawa ke wad untuk tindakan lanjut," katanya.

Berhubung mengenai perkongsian videonya di TikTok, Nurul Natashaina berkata, dia hanya mahu menyimpan memori dan berkongsi pengalamannya serta tidak menyangka mendapat perhatian.

"Ramai yang bertanya mengenai pengalaman itu termasuk nama tempat anak dilahirkan di dalam surat beranak.

"Kami sudah buat surat beranak dan nama tempat lahirnya ialah nama jalan yang kami berhenti ketika anak dilahirkan bukan di dalam kereta.

"Alhamdulilah, kami berdua sihat dan bayi juga membesar dengan baik. Saya mahu berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 10:59 PM