KAMERA loceng rumah dapat merakam detik Emily Johnson melahirkan bayi di halaman rumah. FOTO Agensi
KAMERA loceng rumah dapat merakam detik Emily Johnson melahirkan bayi di halaman rumah. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Seorang wanita di California, Amerika Syarikat (AS) berdepan detik mencemaskan apabila tidak sempat ke hospital hingga terpaksa melahirkan bayinya di halaman rumah.

Insiden itu sempat dirakam menerusi kamera loceng pintu dipasang di rumahnya.

KCRA TV melaporkan Emily Johnson dari Vacaville berkata, dia dan suaminya, Michael, tidak tergesa-gesa ketika mengalami kontraksi bermula 4 November lalu kerana jarak rumah mereka dengan hospital hanya lima minit.

"Kemudian kontraksi berubah dari setiap tiga minit kepada dua minit dan satu minit dalam masa 20 hingga 30 minit.

"Lalu kami tidak menunggu dan terus masuk ke dalam kereta untuk pergi (ke hospital)," katanya.

Johnson dapat memasuki kereta sebelum menyedari dia tidak akan sempat tiba di hospital tepat pada masanya.

Johnson melahirkan bayi, Thomas dengan bantuan ibunya, Kristy Sparks.

Anggota kecemasan tiba sejurus bayi itu dilahirkan.

"Ketika mereka berjalan ke arah saya, saya sudah memangku bayi dalam pelukan dan dia (bayi) sedang menangis," kata Sparks.

Johnson berkata, kelahiran luar biasa itu kini menjadi satu kisah yang hebat.

"Mujurlah saya menghadap ke arah itu (bertentangan) kerana jika tidak, saya tidak fikir kami akan dapat berkongsi rakaman video itu dengan sesiapa pun.

"Saya bergurau yang saya seperti lembu beranak di ladang kerana apabila saya tiba di hospital, ada cebisan rumput jatuh dan jururawat mengelap kotoran dari lutut saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:30 AM