GAMBAR hiasan. FOTO Reuters/Rula Rouhana.
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters/Rula Rouhana.
Agensi

Sana'a: Seekor unta menjadi penyelamat dengan menjadi pengangkutan utama seorang wanita di Yaman yang sakit mahu melahirkan anak.

Mona, 19, mengalami kontraksi untuk melahirkan anaknya.

Dia perlu merentasi perjalanan sejauh 40 kilometer (km) dari pergunungan berbatu di rumahnya, Kampung Al-Maaqara ke Hospital Bani Saa.

Dia yang ditemani suaminya menunggang unta dan terpaksa menempuh perjalanan tujuh jam kerana kesakitan dan cuaca buruk berbanding tempoh asal hanya empat jam.

"Perjalanan yang sangat memenatkan kerana terpaksa melalui jalan berbatu.

"Ketika unta itu tidak dapat berjalan lagi, saya terpaksa turun dan meneruskan perjalanan bersama suami," katanya seperti dilaporkan BBC News.

Katanya, dia hanya memikirkan keselamatan diri dan anak dalam kandungannya.

"Setiap kali unta itu bergerak laju, saya merintih kesakitan.

"Ada ketikanya saya berdoa supaya Tuhan mengambil nyawa saya dan melindungi bayi kerana terlalu sakit," katanya.

Namun, Mona berkata, kesakitan hilang selepas dia mendengar suara tangisan bayinya yang selamat dilahirkan secara pembedahan.

"Saya dan suami menamakan bayi lelaki kami Jarrah sempena nama doktor bedah yang menyelamatkan kami berdua.

Hicham Nahro dari Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNFPA) di Yaman berkata, seorang wanita di Yaman meninggal dunia setiap dua jam ketika bersalin akibat masalah kesihatan yang boleh dicegah lebih awal.

Katanya, kebanyakan wanita yang tinggal di kawasan pedalaman tidak melakukan pemeriksaan rutin atau mencari bantuan ketika mereka mengalami pendarahan atau sakit serius.

"Kurang 50 peratus kelahiran dibantu doktor pakar dan hanya sepertiga kelahiran berlaku di fasiliti kesihatan.

"Selain itu, dua perlima daripada penduduk Yaman, tinggal jauh, iaitu lebih sejam perjalanan dari hospital," katanya.

Yaman mengalami akses kesihatan terburuk sebelum zaman perang lagi.

Konflik itu menyebabkan kesan kerosakan teruk khususnya terhadap hospital dan jalan di Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 4:12 PM