Kansas: Seorang ibu berkongsi saat paling cemas yang dilalui bersama suami apabila terpaksa menyambut kelahiran bayi lelaki mereka di koridor hospital.

Ibu kepada enam anak, Jesica Hogan dari Kansas, Amerika Syarikat (AS) melahirkan anaknya, Max pada Julai tahun lalu dan menceritakan semula pengalaman itu menerusi satu video yang dikongsi jurugambarnya, Tammy Karin di dalam blognya.

Dia dan suami, Travis sebelum itu sudah ke hospital, namun terpaksa pulang ke rumah dan menunggu beberapa hari hingga saat kelahiran.

“Saya tidak dapat merasai bilakah saat sebenar untuk melahirkan anak. Saya berjaga pada jam 2 pagi kerana mengalami kontraksi. Ketika itu saya mengadu kepada bakal ibu dan rakan lain mengenai kontraksi itu dan bimbang tidak sempat ke hospital,” katanya dalam blog itu.

Tidak lama kemudian, saat yang ditunggu-tunggu hampir tiba apabila air ketubannya pecah sebelum suaminya bergegas menghantarnya ke hospital.

Karin tiba tidak lama kemudian dan bersedia untuk merakam detik kelahiran bayi pasangan itu di Via Christi Hospital di Manhattan, Kansas.

“Saya hanya melepasi pintu automatik kedua sebelum merasakan bayi akan keluar. Kepala bayi mula keluar dan saya meminta suami menyambutnya,” katanya.

Jururawat bergegas untuk membantu wanita itu yang berjaya melahirkan seorang bayi dengan selamat di kawasan koridor. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 4:51 AM