SITI Yasmee Quraisyiah berkhidmat di klinik pergigian di  Seberang Jaya, Pulau Pinang.
SITI Yasmee Quraisyiah berkhidmat di klinik pergigian di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seorang jururawat berbangsa Melayu memanfaatkan sepenuhnya kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin untuk membantu pesakit, terutama warga emas.

Siti Yasmee Quraisyiah Mohd Yusof, 36, yang bertugas di klinik pergigian di Seberang Jaya, Pulau Pinang mengakui kemahiran itu menjadi kelebihan buatnya dalam membantu pesakit berurusan di klinik kerajaan.

Wanita itu menarik perhatian warganet selepas videonya berbual dengan pesakit dalam bahasa Mandarin tular di TikTok, malah ramai yang memujinya kerana penguasaan bahasa asing selain bahasa ibunda, memudahkan urusan pesakit.

Siti Yasmee berkata, dia yang berkhidmat sebagai jururawat pergigian sejak 15 tahun lalu, lancar berbahasa dan menulis dalam bahasa Mandarin ketika bersekolah di Parit Buntar, Perak.

"Saya memang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina sejak tadika hingga tamat Tingkatan Lima, malah Mandarin memang menjadi bahasa harian kecuali di rumah sebelum ini.

"Saya juga mempunyai ramai rakan dalam kalangan kaum Cina sejak kecil. Ketika belajar di kolej pergigian barulah saya ada lebih ramai rakan Melayu," katanya kepada Harian Metro.

VIDEO yang dimuat naik di TikTok menunjukkan Siti Yasmee Quraisyiah bertutur bahasa Mandarin dengan pesakit.
VIDEO yang dimuat naik di TikTok menunjukkan Siti Yasmee Quraisyiah bertutur bahasa Mandarin dengan pesakit.

Ibu kepada lima anak itu berkata, kelebihan itu digunakan sepenuhnya untuk membantu memudahkan urusan pesakit terutama warga emas yang datang ke klinik.

"Klinik kerajaan memang menggunakan bahasa Melayu, cuma apabila ada pesakit warga emas kaum Cina, mereka kurang jelas dengan apa yang kami cakap... itu yang saya bantu menerangkan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.

"Semuanya supaya mereka lebih faham dan urusan juga lebih cepat serta lancar, malah tiada salah faham komunikasi ketika di klinik.

"Namun, bahasa Melayu tetap diutamakan," katanya yang memberitahu klinik pergigian tempatnya bertugas tidak mempunyai jururawat berbangsa Cina.

Menurut Siti Yasmee, ramai yang tidak menyangka dia fasih bertutur bahasa itu dan pesakitnya turut teruja apabila mengetahuinya selain memuji kebolehnya menguasai bahasa berkenaan dengan baik.

"Kadang-kadang kami menghubungi pesakit untuk menukar tarikh temu janji dan apabila menjelaskan perkara itu dalam bahasa Mandarin, mereka sangka saya orang Cina.

"Apabila kami jumpa di klinik... itu yang membuatkan mereka terkejut kerana saya orang Melayu," katanya.

Berhubung video mengaitkan dirinya yang tular, wanita itu berkata, ia adalah video pertama yang menunjukkan kemahiran bahasanya dan dikongsi di TikTok.

Katanya, dia bersyukur dengan penerimaan warganet yang rata-ratanya meninggalkan komen positif, malah menggalakkan orang ramai untuk belajar bahasa lain selain bahasa ibunda sendiri.

"Saya mengakui suka bercakap dalam bahasa Mandarin dan itu juga usaha saya untuk terus bertutur kerana kalau tinggal terlalu lama nanti akan lupa pula," katanya.

Pix: KUALA LUMPUR 03 MAC 2023. Kebolehan Siti Yasmee bercakap dalam Bahasa Mandarin untuk membantu pesaki di klinik mendapat pujian ramai. NSTP/IHSAN SITI YASMEE.

Tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 9:10 PM