Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Hampir setiap hari jika berjumpa orang, pasti ada yang sangka dan ingatkan saya orang Melayu," kata Kimberly Chuah.

Gadis berbangsa Cina berusia 21 tahun itu mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Perkongsiannya itu kini meraih lebih 1.5 juta tontonan dan turut menerima reaksi positif warganet di ruangan komen.

Antara video menarik adalah pengakuannya yang gemarkan sambal belacan dan sekiranya tiada lauk, dia menjadikan nasi, telur dan sambal belacan seperti makanan ruji.

Bercerita lanjut, Kimberly berkata, kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu adalah perkara biasa dan bukannya suatu yang unik.

"Suasana saya membesar mungkin menjadi faktor cara saya bertutur sehingga seakan-akan orang Melayu.

"Sejak kecil, saya mempunyai ramai rakan Melayu di sekolah dan ibu bapa yang berketurunan Baba Nyonya biasa menggunakan bahasa Melayu di rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia yang menetap di Setapak, berkata jika penggunaan bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan harian setiap rakyat Malaysia, pastinya hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum dapat dieratkan.

Katanya, jika bertemu dengan orang Cina, kebiasaannya dia akan bertutur dengan bahasa Melayu walaupun mereka boleh berbahasa Mandarin.

"Daripada segi penguasaan bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris saya lebih baik berbanding bahasa Mandarin atau Hokkien.

"Saya baru berjinak-jinak dalam industri lakonan bermula tahun lalu dan kini menjalani penggambaran drama Melayu yang akan disiarkan di RTM.

"Sebelum ini saya menjadi watak sampingan dalam drama Kelmarin Cinta yang disiarkan di TV Okey," katanya.

Menurutnya, ketika di set penggambaran, ramai kru produksi bertanya sama ada dia berbangsa Cina atau Melayu dan hampir setiap hari soalan sama diajukan.

Katanya, dia berharap perkongsiannya itu dapat memberi impak positif kepada masyarakat lain terutama dalam menyuntik perasaan mencintai bahasa kebangsaan.

"Saya terkejut apabila video itu tular sedangkan bagi saya, orang Cina cakap Melayu itu biasa, ramai saja di luar sana.

"Pada masa sama, saya gembira ia dapat perhatian warganet sekurang-kurangnya dapat membantu menonjolkan diri saya dalam industri kerana bergelar pelakon sudah menjadi impian sejak kecil," katanya yang turut aktif dalam pementasan teater.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:30 PM