Oleh Norasikin Daineh

Tawau: Persatuan Bola Sepak (FAM) wajar kaji kenyataan yang dikeluarkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai ketidakadilan dalam persatuan induk bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dia tidak mahu memberi sebarang pandangan mengenai isu perletakan jawatan Tunku Ismail namun pihak FAM harus mengkaji kenapa keputusan itu diambil.

"Itu keputusan peribadi yang dibuat Tunku Ismail, saya tidak tiada apa-apa nak komen kerana itu keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai Penasihat FAM walaupun kita harap perkara ini dielakkan.

"Namun demikian, keputusan peribadi Tunku Ismail telah dibuat dan kita terima dan hormati. Tetapi kita harus kaji kenapa dia letak jawatan. Saya tak pasti sama ada, ada kebenaran apa yang disebut oleh Tunku Ismail sebagai penasihat tetapi elok juga kalau FAM mengkaji apa yang disebut Tunku Ismail sebab dia meletak jawatan," katanya ketika diminta mengulas isu perletakan jawatan Tunku Ismail sebagai penasihat FAM menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), pada khamis lalu.

Menurut Khairy, dia turut membaca kenyataan yang dikeluarkan itu bahawa tiada ketelusan dalam organisasi terbabit namun kurang pasti adakah kenyataan itu benar atau sebaliknya.

"Saya rasa, wajar FAM mengkaji apa yang disebut Tunku Ismail," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 3:15 PM