Tunku Tun Aminah (tiga dari kiri) berkenan merasmikan pelancaran kad keahlian Yayasan JDT bersama Noorazam Osman (dua dari kanan) di Kafe JDT. FOTO NSTP/ROYAL PRESS OFFICE.
Tunku Tun Aminah (tiga dari kiri) berkenan merasmikan pelancaran kad keahlian Yayasan JDT bersama Noorazam Osman (dua dari kanan) di Kafe JDT. FOTO NSTP/ROYAL PRESS OFFICE.
Rizar Mohd Noor


PENSTRUKTURAN semula Yayasan Johor Darul Ta'zim (Yayasan JDT) yang bernaung di bawah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyasarkan jumlah keahlian seramai 100,000 hingga 200,000 ahli dalam tempoh setahun.

Pengerusi Yayasan JDT, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, jika jumlah keahlian itu mencapai sasaran antara 100,000 atau 200,000 maka mampu mengisi tabung dana sejumlah RM20 juta.

"Ketika ini, kita baru ada 1,300 keahlian sejak ia diperkenalkan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 7 Disember 2016 dan dana yang terkumpul adalah RM100,000 dan ia tidak mencukupi untuk melaksanakan program yang dirancang untuk penyokong.

"Penstrukturan semula Yayasan JDT bakal menyaksikan ia beroperasi dengan lebih baik bagi mencapai objektif penubuhan yang digariskan untuk dinikmati penyokong JDT malah turut dipersetujui Tunku Ismail.

"Antara kelebihan yang dimiliki oleh ahli yang berdaftar dengan Yayasan JDT, ahli diberikan laluan khas untuk pembelian tiket dalam setiap perlawanan membabitkan JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketika ini 1000 keping tiket dikhaskan kepada ahli yang sudah berdaftar," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kad JDT dan Yayasan JDT di Kafe JDT di Johor Bahru, hari ini.

Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan hadir menyempurnakan majlis pelancaran itu.

Mohd Noorazam juga berharap sokongan padu daripada semua kelab-kelab penyokong JDT akan merealisasikan hasrat Yayasan JDT mencapai sasaran malah ia terbuka kepada semua penyokong bolasepak di Johor.

Katanya, usaha menaikkan imej Yayasan JDT sudah dirancang sejak setahun lalu selepas beliau dilantik sebagai pengerusi yayasan berkenaan dan menjadi iltizam buat dirinya untuk memastikan yayasan berkenaan kembali berfungsi selepas kurang aktif sejak tiga tahun lalu.

"Menerusi penubuhan Yayasan JDT akan tercapai hasrat penyokong untuk menjadi sebahagian daripada kelab JDT iaitu mewakili 40 peratus hakmilik di mana yayasan berkenaan akan mewakili penyokong.

"Secara tidak langsung membolehkan penyokong terbabit dalam kemajuan dan pembangunan bola sepak kelab JDT bagi memartabatkan lagi bola sepak di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 5:23 PM