TMJ mahu NFDP  (jersi putih) dikendalikan FAM sepenuhnya.
TMJ mahu NFDP (jersi putih) dikendalikan FAM sepenuhnya.
Firdaus Hashim


Putrajaya: Permintaan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) diletakkan di bawah seliaan badan induk itu masih belum menemui kata putus.

Pencetus idea program NFDP yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilihat masih berteka-teki mengenai isu berkenaan apabila mengambil jalan selamat dengan menegaskan rundingan ke arah itu sedang dibincangkan.

Walaupun Ketua Eksekutif NFDP Safirul Abu Bakar sudah mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail di Johor Bahru, Selasa lalu, Khairy sekadar memaklumkan pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pucuk kepemimpinan baru FAM itu.

“Kami akan mengadakan kerjasama terbaik dengan FAM demi pembangunan bola sepak negara dengan pengisian baru yang dapat dijayakan sepenuhnya.

“Saya percaya kerjasama ini akan menghasilkan sesuatu yang positif kepada sukan bola sepak tanah air,” katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Tunku Ismail mahu segala program akar umbi termasuk NFDP yang dibangunkan KBS perlu diserahkan kepada FAM selaku organisasi bertanggungjawab ke atas sukan paling popular itu.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, ahli gabungan FAM di setiap negeri menjadi ‘bertambah malas dan kerap tidur’ selepas KBS mengambil alih program akar umbi itu.

Sehubungan itu TMJ turut menyarankan dana NFDP disalurkan terus ke poket badan induk tempatan berkenaan.

Sementara itu, Khairy turut mengulas ringkas mengenai kepulangan empat pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) - Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal - yang membuat ‘pusingan U’ menyertai skuad Harimau Malaysia.

“Kita cuma boleh harap yang terbaik untuk bola sepak negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 5:29 AM