INSTAGRAM Story TMJ berhubung tawaran kerja kepada Khairy. FOTO IG TMJ
INSTAGRAM Story TMJ berhubung tawaran kerja kepada Khairy. FOTO IG TMJ
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim nampaknya tidak menunggu lama untuk 'meminang' Khairy Jamaluddin bagi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas ini.

Tawaran itu dibuat oleh pemilik JDT itu di laman Story Instagram miliknya hari ini.

Dalam tulisannya, beliau mahu melantik Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ sebagai CEO kelab dan juga penasihat pembangunan akar umbi pasukan terbabit.

"CEO masa depan JDT dan penasihat pembangunan Johor," tulisnya.

Keinginan Tunku Ismail itu dilihat tepat di mana Khairy cukup meminati sukan bola sepak.

Malah, bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga amat berpengalaman dalam hal ehwal bola sepak tempatan apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Khairy juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018 di mana beliau mengilhamkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat yang boleh dipasarkan ke luar negara.

Mungkin bekas Menteri Kesihatan itu boleh mempertimbangkan tawaran terbabit kerana beliau kini dilihat memiliki banyak masa terluang selepas tidak lagi aktif dalam politik apabila dipecat oleh UMNO, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 9:31 PM