NCT Dream.
NCT Dream.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Konsert Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 menampilkan bintang K-Pop iaitu NCT Dream, WayV, KARD, ALICE, serta kumpulan tempatan Dolla berjaya menarik lebih 5,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Meskipun bertembung konsert bintang legenda dari India, AR Rahman di stadium sebelah, tetap tidak menjejaskan kemeriahan konsert anjuran CM Live itu. Bahkan, setiap penghibur turut tampilkan persembahan sangat bertenaga.

Kumpulan ALICE yang pertama kali berkunjung ke sini sangat teruja akhirnya dapat bertemu dan menghiburkan peminat Malaysia. Mereka juga seronok dapat 'tinggalkan' sebentar cuaca sejuk di negara sendiri.

"Keadaan di Korea sekarang sedang membeku. Jadi, apabila sampai saja ke sini semalam, kami sangat gembira dapat merasa cuaca yang lebih panas.

"Akhirnya dapat juga kami bertemu anda semua selepas lama hajat tergendala gara-gara pandemik. Kami berharap anda semua akan terhibur dengan persembahan kami kali ini," kata kumpulan terbabit.

Demikian juga Dolla yang sangat berbesar hati dapat peluang berkongsi pentas dengan bintang ternama K-Pop. Mempersembahkan tiga lagu, tawaran beraksi pada acara itu sangat besar maknanya.

Kumpulan terbabit membuka tirai konsert yang bermula tepat jam 6 petang itu. Kemudian disusuli ALICE, KARD, WayV, dan NCT Dream sebagai penutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:25 PM