Siti Nur Qurratul'aina Quddus

ANUGERAH muzik yang disampaikan setiap tahun oleh syarikat hiburan dan kandungan media Korea Selatan iaitu Cheil Jedang Entertainment & Media (CJ E&M), MAMA Awards bakal diadakan pada 29 dan 30 November ini di Kyocera Dome Osaka, Jepun.

Bagi membolehkan peminatnya di negara ini merasai kemeriahan sama, platform penstriman Media Prima, Tonton akan menyiarkan Anugerah K-pop nombor satu di dunia ini secara langsung pada tarikh berkenaan bermula  3 petang waktu tempatan.

Selain debaran siapa yang bakal dianugerahkan seleksi anugerah yang berprestij, keterujaan juga membara dengan barisan artis ternama yang akan membuat persembahan.

Setiap penonton yang menyaksikan MAMA Awards menerusi platform Tonton perlu bersedia untuk berhibur dengan barisan artis K-pop yang begitu berbakat. 

Antara barisan artis ternama yang akan membuat persembahan adalah Stray Kids, Hyolyn, Bibi, dan Forestella pada hari pertama.

Hari kedua pula, Treasure, Enhypen, Ive, dan NewJeans akan menggegarkan pentas berprestij dengan membuat persembahan lagu popular masing-masing seperti Darari, Polaroid Love, dan Attention.

J-Hope - FOTO Big Hit Music

Berita gembira buat peminat kumpulan BTS, pihak penganjur MAMA Awards memaklumkan seorang daripada ahli kumpulan berkenaan, J-Hope akan turut membuat persembahan pada majlis berprestij ini.

Namun begitu, tarikh dan waktu masih belum dimaklumkan.

Saksikan MAMA Awards 2022 secara langsung menerusi laman web www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton untuk lebih memudahkan penstriman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:25 PM