Georgie Joseph


PENANDA jelas bahawa penghibur itu berada di tahap luar biasa adalah mampu mengkhayalkan penonton tatkala menakluk pentas menjayakan sesebuah persembahan.

Bukan semua mampu cipta magis tanpa tema yang kukuh dalam perjalanan sebuah konsert.

Hasilnya hanya akan sempurna jika serba-serbi aspeknya tepat dan mengena ke hati yang menyaksikan.

Itulah ditonjolkan kumpulan dari Korea Selatan, NCT Dream yang bertandang ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menjayakan Konsert The Dream Show 2 (TDS2) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Mengenakan tema 'mimpi', kumpulan terbabit berhasil menterjemah konsep yang sangat unik dalam konsert itu. Banyak aspek yang terletak tepat selain daripada sekadar memfokuskan nyanyian semata-mata.

Berlangsung hampir tiga jam, konsert yang bermula jam 5 petang itu dibuka dengan kemunculan mereka dalam kotak kaca.

Kotak itu bergerak naik dari lantai pentas dan sangat menarik.

Daripada situ, mereka mula lincah dengan segala gerak-geri penuh bertenaga menyanyikan lagu-lagu rancak.

Tidak perlu pun mengikut koreografi sekata, lebih bebas dengan cara sendiri.

Semestinya kerinduan baik NCT Dream sendiri dan peminat terubat dengan kunjungan kali ini.

Lebih 10,000 yang hadir nyata sangat menantikan mereka datang dengan anggota lengkap kali ini.

NCT Dream tampilkan konsep yang cukup kukuh dan mengena ke hati penonton.
NCT Dream tampilkan konsep yang cukup kukuh dan mengena ke hati penonton.

Mana tidak, beberapa anggotanya sempat singgah ke Malaysia bagi menghiburkan peminat mereka menerusi Seen Festival yang diadakan pada Januari lalu.

Ketika itu, mereka cuma mengisi barisan penghibur lain yang turut serta dalam acara berkenaan. Hanya berlima saja datang ketika itu.

Barangkali sebab itulah mereka simpan segala bentuk tenaga untuk dilepaskan sepenuh raga pada konsert baru-baru ini. Mereka sendiri menyuruh semua yang hadir untuk tidak berhenti nikmati setiap momen.

"Mari berseronok. Kami mahu kamu benar-benar bergembira pada hari ini. Kami pun sangat rindu dan menantikan saat untuk bersama kamu.

"Melihat wajah-wajah cantik kamu di depan buat kami rasa sangat gembira. Kami memang sentiasa akan teruja untuk datang ke Malaysia," kata mereka.

Tirai konsert yang dibawakan penganjur Star Planet itu dibuka dengan lagu Glitch Mode sementara NCTzens bersorak menyaksikan Mark, Haechan, Jeno, Jaemin, Renjun, Chenle dan Jisung ligat menyanyi dan menari.

Waktu itu, laungan dalam stadium bergema dengan luar biasa kerana awal-awal lagi mereka sudah meledakkan pentas. Keadaan terus panas dengan persembahan lagu Countdown (3, 2, 1) dan juga Stronger.

Kemudian barulah mereka ambil masa untuk rutin membuka bicara dan beramah mesra dengan penonton. Seperti biasa mereka memperkenalkan diri dan menyapa sekalian yang hadir.

Tidak lekang juga semestinya ucapan dalam Bahasa Melayu, mereka meluahkan rasa teruja dan gembira dapat bersama dengan NCTzens dalam konsert solo pertama di Malaysia.

Seterusnya, mereka menyambung persembahan dengan lagu Dreaming dan Deja Vu.

Muncul kembali ke pentas selepas menukar persalinan, mereka mendendangkan My First And Last, Bye My First, To My First dan Love Again. Haechan, Renjun dan Chenle turut mengambil pentas sebagai vocal-line menyanyikan lagu Sorry, Heart.

BERHASRAT datang kembali dengan konsert dua malam.
BERHASRAT datang kembali dengan konsert dua malam.

Disusuli Mark, Jeno, Jaemin dan Jisung menyertai tiga yang lain mempersembahkan Puzzle Piece, Chewing Gum dan ANL.

Lagu-lagu favourite seperti Dive Into You dan Irreplaceable turut sama dinyanyikan pada malam itu.

Selain vocal-line, rap-line yang dibarisi Mark, Jeno, Jaemin dan Jisung turut mengambil alih pentas menerusi lagu Saturday Drip.

Kehangatan malam itu diteruskan menerusi lagi Better Than Gold, Diggity, Riddin dan Boom sebelum ditutup dengan Hello Future, We Go Up, Trigger The Fever dan Hot Sauce.

Untuk kemuncak pula, NCT Dream mempersembahkan Beatbox sebelum menyatakan hasrat untuk kembali lagi bertemu dengan NCTzens di Malaysia.

Alunan penuh indah dengan lagu My Youth, Walk You Homedan Candy mengakhirinya.

Kumpulan itu turut memberi pembayang bahawa akan bertandang lagi pada masa hadapan.

Bahkan mereka berhasrat mengadakan konsert dua malam pula selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 6:00 AM