FATIMAH (kiri) sentiasa mengunjungi ibu angkatnya, Ah Fong setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina. FOTO Ihsan Fatimah Jusoh
FATIMAH (kiri) sentiasa mengunjungi ibu angkatnya, Ah Fong setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina. FOTO Ihsan Fatimah Jusoh
Noor Hidayah Tanzizi


Kuantan: Pertemuan tanpa sengaja 15 tahun lalu di sebuah kedai makan di Kuantan antara dua wanita ini menjalinkan satu 'ikatan' keluarga tanpa darah biarpun berbeza agama, budaya dan bangsa.

Tanpa melihat perbezaan itu hubungan Fatimah Jusoh, 51, dan ibu angkatnya berbangsa Cina, Ah Fong, 75, yang dipanggil 'Kaima' atau ibu angkat dalam Bahasa Kantonis, seperti keluarga kandung.

Fatimah berkata, Ah Fong sudah dianggap seperti ibu kandung adalah seorang wanita yang sangat prihatin, malah sehingga kini masih bimbangkan keselamatannya ketika berkerja.

Ibu tunggal itu berkata , dia juga tidak menyangka walaupun berbeza kepercayaan dan budaya, warga emas dua anak itu melayan dan mengasihaninya seperti anak kandung.

Katanya, selepas sebulan berkenalan warga emas itu meminta dia memanggilnya sebagai Kaima dan wanita itu pula memanggilnya 'Kailo' atau anak angkat perempuan.

"Kaima juga ibu tunggal dan dua anaknya juga baik dan melayan saya seperti keluarga mereka. Setiap tahun saya tidak akan melepaskan peluang ziarah Kaima pada Tahun Baru Cina dan bila Aidilfitri dia dan anaknya juga menziarahi saya.

"Kami selalunya makan bersama di luar dan kami memang sudah seperti keluarga, malah Kaima juga mengenali keluarga saya di Terengganu," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Terdahulu, video perkongsian Fatimah di akaun TikToknya yang menziarah dan membawa buah tangan untuk ibu angkatnya, Ah Fong sempena Tahun Baru Cina, semalam mendapat perhatian warganet.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia mengenali Ah Fong sejak 15 tahun lalu selepas berpisah dengan bekas suami dan mula berniaga keropok ikan dari kampung halaman, Terengganu.

"Ketika itu saya datang ke sebuah kedai makan Cina untuk meletakkan keropok ikan dan kebetulan Kaima pula makan di situ.

"Kami bersembang dan bertemu beberapa kali serta bertukar cerita, lama-lama jadi rapat. Rumah kami pula ketika itu tidak jauh hanya tujuh minit, jadi selalulah kami berjumpa dan makan bersama," katanya yang tinggal di Taman Polo, di sini.

Menurutnya, dia selalu membawa ibu angkatnya keluar makan bersama hampir setiap hari selama lapan tahun dan selepas warga emas itu berpindah ke Tanjung Lumpur mereka sudah jarang bertemu kerana kesibukannya dan jarak yang agak jauh.

"Sepanjang 15 tahun berkenalan, Kaima sangat baik dan dia melayan saya seperti anaknya. Dia selalu nasihat dan memberi sokongan kepada saya, boleh cakap dia antara insan yang melihat perjalanan usaha jualan keropok ikan saya dulu.

"Malah, kehadirannya juga mengubat kerinduan saya pada ibu kandung di Terengganu. Bila ada masa memang saya akan menziarah Kaima.

"Hampir setiap hari juga Kaima akan telefon dan tanya saya sudah pulang ke rumah atau belum kerana sangat bimbang saya pulang seorang diri lewat malam dari kedai, malah bila sudah sampai rumah juga dia akan telefon lagi," katanya.

Menurut Fatimah, biarpun berbeza agama tetapi ibu angkatnya yang juga seorang 'vegetarian' disifatkan sebagai seorang yang sangat memahami dan menjaga sensitiviti agama.

"Kami lebih memilih makan bersama di restoran dan Kaima juga selalu beritahu dia selalu doakan saya sihat, murah rezeki dan perniagaan juga baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 11:05 PM