MICHELLE Yeoh tunggu empat dekad genggam trofi Anugerah Golden Globe. FOTO Instagram goldenglobes
MICHELLE Yeoh tunggu empat dekad genggam trofi Anugerah Golden Globe. FOTO Instagram goldenglobes
Georgie Joseph


Masih meremang bulu roma teringat kemenangan manis anak Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh baru-baru ini di Anugerah Golden Globe. Ia benar-benar memahat sejarah indah yang pasti jadi bualan dan tertulis sampai bila-bila buat kita khususnya.

Yeoh, 61, menjadi rakyat Malaysia pertama menang di anugerah berprestij dunia itu. Beliau menambah koleksi trofi peribadi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Sehinggakan, anak jati Ipoh, Perak itu diutus ucapan tahniah satu-persatu daripada pemimpin tertinggi negara kita.

Begitu besar dan terlalu luar biasanya pencapaian berkenaan untuk direkod dalam sejarah kita.

Peurtusan tahniah pertama diterima ialah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada aktres legenda itu.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Yeoh, yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa," menurut Istana Negara.

Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Yeoh dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengharapkan pencapaian Yeoh itu memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya dan mencambah bakat kreatif lagi berkualiti.

"Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh atas pencapaian tingkat tinggi dalam industri seni perfileman tatkala meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi.

"Trofi masyhur Anugerah Golden Globe yang dirangkul Tan Sri Michelle ternyata membanggakan negara dan rakyat terutamanya peminat filem," katanya.

Anwar berkata, beliau juga akan menonton filem yang dibintangi Yeoh berjudul Everything Everywhere All at Once itu dalam masa terdekat.

Selain Perdana Menteri, nama-nama besar lain yang turut menitipkan ucapan tahniah kepadanya termasuklah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dan Setiausaha Kebudayaan Hong Kong, Kevin Yeung.

Malah Yeoh dalam ucapannya sewaktu menerima trofi berkenaan, mendedikasikan kemenangannya itu buat golongan minoriti yang tidak henti berjuang melakar nama di Hollywood. Liku perjalanan itu turut dirasainya.

"Agaknya pengalaman selama 40 tahun adalah raptai terpanjang saya untuk filem ini. Ia sebuah perjalanan yang sangat luar biasa dan perjuangan terindah untuk berada di sini hari ini. Saya masih ingat sewaktu pertama kali datang ke Hollywood.

"Ia sebuah mimpi jadi kenyataan, untuk sampai ke sini, disebabkan, tengoklah wajah ini. Saya datang ke sini dan diberitahu "kamu adalah seorang minoriti".

"Ini juga adalah buat setiap bahu yang pernah sandarkan saya, yang hadir sebelum saya, rupa macam saya, dan semua yang sedang berjalan ke hadapan dengan saya," katanya.

Yeoh pernah menjadi pemenang ratu cantik Miss World Malaysia 1983 dan mewakili negara bertanding di peringkat dunia ketika itu. Walaupun tidak menang, namanya antara paling berpengaruh dan terus disanjungi dalam organisasi terbabit.

Bahkan, pihak Miss World turut memuat naik hantaran khas bagi mengucapkan tahniah buat Yeoh atas kemenangan itu.

Yeoh mula menceburi bidang perfileman pada sekitar 1980-an dan kariernya bermula di Hong Kong. Ia termasuk membintangi komersial bersama legenda Jackie Chan yang handal dalam seni pertahanan diri.

Pada 1985, dia mula terbabit penggambaran filem bersama produksi D&B Films. Awalnya, beliau menggunakan Michelle Khan sebagai nama pentas sebelum menukarnya kepada Michelle Yeoh.

Tidak pernah mendalami ilmu pertahanan diri secara profesional, Yeoh bersandarkan bakat tarian serta tunjuk ajar pakar di set penggambaran apabila menjayakan babak bertarung.

Pada Anugerah Golden Globe baru-baru ini, Yeoh menewaskan calon lain termasuk Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande).

beliau mula mencipta nama di Hollywood menerusi filem pemenang Oscar, Crouching Tiger, Hidden Dragon. Yeoh turut terkenal di Hollywood menerusi filem-filem besar termasuk filem James Bond, Tomorrow Never Dies.

Tidak ketinggalan, beliau turut membintangi filem pecah panggung seperti Crazy Rich Asians, Shang-Chi, dan Legend of the Ten Rings.

Dengan sejarah diciptanya itu, ramai menjangkakan Yeoh juga berpotensi memenangi trofi di Anugerah Oscar pula selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 6:00 AM