VAPE berbentuk mainan kanak-kanak yang tular di media sosial hingga mendapat kecaman ramai.
VAPE berbentuk mainan kanak-kanak yang tular di media sosial hingga mendapat kecaman ramai.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Ibarat taktik 'perang saraf' bagi menarik perhatian remaja apabila muncul produk rokok elektronik (e-rokok) atau vape menyerupai mainan kanak-kanak di pasaran.

Kehadiran vape dengan saiz lebih kecil itu, selain berbentuk pod pakai buang dibimbangi boleh mengheret golongan muda itu menjadi penagih vape.

Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, rokok elektronik dengan rupa menyerupai imej kartun atau warna menarik boleh menarik perhatian golongan remaja dan kanak-kanak.

"Isu ini serius kerana ia mendedahkan kanak-kanak dan remaja kepada nikotin yang digunakan dalam kebanyakan cecair vape.

"Nikotin diketahui amat berbahaya terhadap otak terutama bagi golongan muda sedang berkembang. Selain menyebabkan ketagihan, gejala menghisap vape dikalangan remaja turut meningkatkan risiko ketagihan nikotin berpanjangan, gangguan emosi dan perkembangan serta penyalahgunaan najis dadah," katanya.

Jelasnya, rokok elektronik atau vape kini dipasarkan dengan mencontohi pengiklanan rokok yang didapati sangat berjaya.

"Ini termasuk menekankan identiti kebebasan dan pilihan gaya hidup, menggunakan pengaruh selebriti dan influencer serta aktiviti bergaya serta menyeronokkan.

"Vape dalam bentuk mainan tular di media sosial menunjukkan betapa pentingnya Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Amalan Merokok serta Generasi Penamat diluluskan segera bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja di Malaysia menjadi penagih nikotin tegar," katanya.

Pendedahan vape bentuk mainan kanak-kanak sebelum ini mendapat kritikan warganet yang menganggap ia cubaan mengeksploitasi kanak-kanak untuk keuntungan.

Malah bukan sesuatu yang pelik apabila makin ramai remaja sekolah terjebak dan menjadi penghisap vape tegar susulan alat itu murah dan semakin mudah dibeli.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan 15.6 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun di negara ini menggunakan produk tembakau.

Dapatan diperoleh hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019.

"Daripada peratusan itu, 11.6 peratus golongan itu adalah perokok aktif dan 7.5 peratus menggunakan rokok elektronik (vape)," katanya.

Rasa nak cuba sebab bentuk menarik

Ampang Jaya: Peranti rokok elektronik (e-rokok) atau vape dikenali sebagai Pod Tiger kini mula memasuki pasaran dan menjadi kegilaan pengguna berikutan bentuknya mirip permainan kanak-kanak atau lego.

Tinjauan wartawan Harian Metro di dua premis di Taman Cempaka dan Pandan Indah di sini, mendapati vape comel berkenaan dijual pada harga RM35 seunit dan mempunyai pelbagai perisa.

Ketika tinjauan dilakukan, beberapa pengguna termasuk wanita turut sama membeli produk vape itu yang popular dan tular di media sosial.

Pengguna vape hanya mahu dikenali sebagai Erin, 20-an, berkata, dia bukan penghisap tegar vape atau rokok elektronik namun membeli pod tiger itu kerana reka bentuknya menarik perhatian.

"Saya mulanya ternampak rupa bentuk vape ini di aplikasi TikTok. Ramai rakan sudah memilikinya. Disebabkan itu saya terus ke premis ini untuk mendapatkannya.

"Memang ada rasa mahu cuba (menghisap vape) berdasarkan reka bentuknya yang menarik.

Jadi saya beli dahulu untuk simpanan dan akan mencubanya selepas ini," katanya.

Sementara itu, peniaga di premis vape itu memaklumkan stok bagi pod berkenaan mulai masuk ke pasaran tempatan sejak bulan lalu.

"Tapi sekarang stok sudah tidak banyak dik (wartawan) kalau nak beli kena beli sekarang, barang ni dah viral (tular).

"Budak-budak (pelajar sekolah) juga ada membeli, bukan setakat Pod Tiger tapi vape biasa juga mereka ada beli, sekarang mereka dah advance (maju)," katanya.

Dalam pada itu, pod menyerupai mainan kanan-kanak berkenaan turut dijual di dalam talian di beberapa platform e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 12:00 PM