TINJAUAN kemasukan Pelancong dari China memakai pelitup muka ketika tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
TINJAUAN kemasukan Pelancong dari China memakai pelitup muka ketika tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia sejak republik itu membuka sempadan negara, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, berkata, setakat ini tiada kes Covid-19 atau gejala dikesan dalam kalangan mereka setakat ini.

Katanya, KKM akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.

"Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan kehadiran varian baharu Covid-19," katanya pada sesi taklimat khas media di sini, tadi.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara supaya melengkapkan vaksinasi, selain mengambil dos penggalak 1 dan 2.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua PMA dikekalkan setakat ini.

Beliau berkata, SOP itu turut terpakai bagi pelancong dari China dan sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.

Malah, pelancong yang dikenal pasti demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:14 PM