KERAJAAN digesa meningkatkan penawaran bagi barangan keperluan asas untuk menurunkan harga. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN digesa meningkatkan penawaran bagi barangan keperluan asas untuk menurunkan harga. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Masalah kenaikan harga barang memberi bebanan kepada rakyat khususnya untuk kategori isi rumah B40 serta M40.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya adakah kenaikan harga barang ini hanya berlaku di negara ini atau turut membabitkan negara lain.

Bagi memberi gambaran lanjut, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Ketua Laboratori Kajian Dasar dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM) PROF DR ABDUL RAHIM ABDUL SAMAD.

Isu barangan keperluan yang naik menjejaskan kehidupan rakyat. Pada pandangan Dr, adakah semua kategori (B40, M40 dan T20) turut terjejas?

Sememangnya, pengeluaran dan pengangkutan terjejas teruk akibat pelbagai isu dunia yang melanda misalnya akibat perubahan cuaca melampau dan perang Russia dan Ukraine yang berterusan.

Oleh itu, ia akan menyebabkan harga barangan meningkat disebabkan oleh kekurangan bekalan global.

Bagi mereka yang berpendapatan tinggi, isu harga barangan keperluan yang meningkat tidak menjejaskan golongan seperti T20.

Malah golongan T20 ini sedikit bilangannya berbanding dengan majoriti rakyat Malaysia, terutamanya mereka dalam golongan B40, yang merupakan antara yang paling teruk terjejas daripada segi kenaikan harga barang dengan diikuti oleh golongan M40.

Berdasarkan Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2020, golongan B40 membelanjakan secara purata 24 peratus daripada pendapatan bulanan mereka untuk makanan dan minuman bukan alkohol.

Ini jauh lebih tinggi daripada 18 peratus M40 dan 12.6 peratus T20.

Makanan dan minuman bukan alkohol adalah item perbelanjaan kedua terbesar untuk B40 dan M40 selain dari perbelanjaan untuk perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

Nasib kita baik, pasaran hartanah sedikit merudum dan petrol, elektrik dan gas diberi subsidi.

Tetapi selain daripada beberapa barangan yang mempunyai kawalan harga, kebanyakan bahan makanan tidak diberi subsidi.

Apakah langkah yang paling wajar dilakukan oleh kerajaan pada ketika ini?

Kerajaan secara umumnya cuba mengekalkan harga barangan dalam julat optimum yang menggalakkan pertumbuhan tanpa mengurangkan secara mendadak kuasa beli rakyat.

Terdapat banyak kaedah yang digunakan untuk mengawal kenaikan harga barangan.

Bagaimanapun, tiada satu pun yang pasti yakni ada kemungkinan ia berkesan dan ada kemungkinan ia menyebabkan kesan sampingan.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah kawalan harga iaitu had harga atau tingkat harga yang ditentukan oleh kerajaan dan digunakan untuk barangan tertentu.

Contoh, siling harga ditetapkan untuk mengelakkan pengeluar daripada meningkatkan harga.

Kerajaan perlu bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk mengambil langkah yang terbaik bagi mengekang kenaikan harga barang.

HARGA barang makanan meningkat disebabkan oleh kekurangan bekalan. FOTO Arkib NSTP
HARGA barang makanan meningkat disebabkan oleh kekurangan bekalan. FOTO Arkib NSTP

Apakah mekanisme ekonomi iaitu penawaran serta permintaan memainkan peranan dalam isu kenaikan harga barang ini?

Ia adalah prinsip asas ekonomi bahawa apabila penawaran melebihi permintaan untuk barangan atau perkhidmatan, harga akan jatuh.

Apabila permintaan melebihi penawaran, harga cenderung untuk meningkat.

Jika terdapat peningkatan dalam penawaran barangan dan perkhidmatan yang mana permintaan kekal sama, harga cenderung jatuh.

Jika terdapat penurunan dalam penawaran barangan dan perkhidmatan yang mana permintaan kekal sama, harga cenderung meningkat.

Oleh itu, kerajaan harus meningkatkan penawaran bagi barangan keperluan asas untuk menurunkan harga.

Pada pandangan Prof, bila dan bagaimana harga barang ini dapat distabilkan jika tidak diturunkan?

Kerajaan perlu mengawal selia pengeluaran, pembekalan dan pengedaran pelbagai jenis barangan yang diisytiharkan sebagai 'penting' untuk menyediakannya kepada pengguna pada harga yang stabil.

Kestabilan harga ialah tahap harga yang stabil dalam ekonomi, yang mengelakkan inflasi atau deflasi jangka panjang dan mengekalkan nilai mata wang dari semasa ke semasa.

Kestabilan tahap harga adalah penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya bagi golongan B40 dan M40 yang tinggal di bandar.

Bagaimana isu ini membelenggu Malaysia serta negara lain?

Kenaikan harga barang dan kenaikan keseluruhan kos sara hidup bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Malaysia tetapi sebenarnya merupakan fenomena global.

Isu kenaikan harga barangan telah memberi kesan kepada setiap negara di Asia Tenggara, walaupun secara keseluruhan kadar pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik kekal tinggi.

Perkembangan global, termasuk keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah AS bagi memerangi inflasi, akan merumitkan pemulihan rantau ini dan menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu.

Tetapi adalah jelas bahawa Asia Tenggara dan seluruh dunia, akan bergelut dengan peningkatan inflasi untuk beberapa waktu akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 7:30 AM