MURID Orang Asli mendapat pelbagai keistimewaan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
MURID Orang Asli mendapat pelbagai keistimewaan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Gua Musang: Apabila abangnya Yahya Ferdy (bukan nama sebenar) memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Farkra Ferdy (bukan nama sebenar), 15, sudah menanam cita-cita mahu juga berjaya seperti itu dan hatinya berbunga-bunga apabila dapat ke sebuah sekolah arus perdana di daerah ini.

Kegembiraan ini turut dikongsi ayah dan ibunya, Ferdy Along (bukan nama sebenar), 46, Amek Alung (bukan nama sebenar), 41, berketurunan Orang Asli suku kaum Temiar.

Namun keceriaan Farkra tidak berpanjangan dan ini dapat dilihat sendiri oleh ayah dan ibunya kerana setiap kali anak kesayangannya itu pulang dari asrama, wajahnya suram dan lebih suka memencilkan diri.

Susah hati dan bingung keduanya melihat perubahan sikap anaknya itu berbanding ketika awal mendaftarkan diri di sekolah berkenaan selepas setahun tidak dapat ke sekolah akibat Covid-19.

Farkra hanya dapat memasuki sesi persekolahan secara bersemuka pada tingkatan dua.

"Dia nak jadi macam abang dia Yahya, dapat 6A SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dia memang jenis suka membaca bila ada masa lapang. Tetapi sejak masuk sekolah menengah, kami perhatikan dia suka menyendiri, tidak selera makan, kadang-kadang menangis dan tidak mahu balik asrama selepas habis cuti sekolah," kata Ferdy yang menambah anaknya itu semasa bersekolah rendah tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah yang terletak sekitar 21 kilometer (km) dari rumah mereka di Kampung Kuala Wook.

FARKRA (dua dari kiri) yang menjadi mangsa buli di sekolah tekun mengulang kaji pelajaran bersama kakak dan rakan-rakannya.
FARKRA (dua dari kiri) yang menjadi mangsa buli di sekolah tekun mengulang kaji pelajaran bersama kakak dan rakan-rakannya.

Menjadi mangsa buli, itulah sebenarnya punca perubahan sikap Farkra, anak ke-12 daripada 13 beradik.

Perkara ini hanya dapat dirungkai Ferdy setelah hampir setahun anaknya berkelakuan pelik, yang mungkin turut menggigit perasaan anak Orang Asli lain, hanya kerana darah keturunan berbeza.

"Waktu sekolah rendah, semua anak Orang Asli, jadi tidak ada masalah tetapi apabila Farkra ke sekolah menengah, ada yang memanggilnya, jakun, sakai, rupa buruk macam Negro, busuk walaupun sudah berpakaian kemas dan wangi dan paling teruk bila ada mengatakan Orang Asli buat sekolah jadi kotor.

"Ejekan itu berlaku setiap masa. Dia juga pernah kena tumbuk, bajunya dibuang dari tingkat atas, dipaksa basuh tandas. Buli itu membuatkan dia malu dilahirkan sebagai anak Orang Asli dan mahu berhenti sekolah, tidak mahu kejar cita-cita jadi cikgu pedalaman," kata Ferdy kepada penulis.

Terletak kira-kira 52km dari bandar Gua Musang, Kampung Kuala Wook yang mempunyai lebih daripada 300 penduduk merupakan antara penempatan Orang Asli di pedalaman Semenanjung Malaysia dan tidak boleh ditemui di Google Maps, selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara.

Selain faktor geografi, keadaan jalan balak yang berlopak dan bahaya menyebabkan anak-anak daripada kampung ini ditempatkan di asrama SK Kuala Lah seawal Tahun Satu kerana paling hampir dengan penempatan mereka dengan jarak sekitar 21km.

Menurut Ferdy yang juga wakil jurucakap Kampung Kuala Wook, buat masa ini terdapat lebih daripada 20 pelajar dari kampung itu yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah arus perdana dan ada antaranya turut sama menjadi mangsa buli dan diskriminasi seperti dialami Farkra.

"Bagi anak-anak Orang Asli, mereka kebanyakannya lebih suka mendiamkan diri dan tidak mahu melaporkannya kepada guru kerana tidak mahu timbulkan masalah. Tetapi, apabila saya melihat Farkra semakin teruk dan mahu berhenti sekolah, saya rasa perlu berjumpa dengan pihak pengurusan guru.

"Hasil perjumpaan itu, siasatan dilakukan dan pelajar terbabit (pembuli) dibawa berbincang dan Farkra tidak lagi menjadi mangsa buli...Terima kasih kepada guru...Tetapi, dia masih lagi takut setiap kali hendak masuk asrama selepas tamat cuti sekolah nanti," katanya.

Walaupun sedih melihat impak buli ke atas anaknya itu, Ferdy bersama isteri tidak mahu berputus asa dan sentiasa memujuk, memberi semangat serta motivasi supaya Farkra kekal komited dan mencapai impian sebagai guru.

Mereka yakin semangat anaknya itu dapat dipulihkan dan insiden buli itu turut membuka mata Ferdy akan kepentingan mempunyai hubungan baik dengan sekolah untuk mengetahui perkembangan anaknya. Namun ia tidaklah semudah yang diharapkan.

"Keadaan jalan balak sukarkan kami berjumpa guru selalu sepertimana mereka di luar yang mempunyai kemudahan jalan tar dan sebagainya. Namun, nasib baik talian telefon di sini bagus, begitu juga Internet, mudahkan komunikasi ibu bapa pedalaman dengan pihak sekolah.

"Bagi ibu bapa Kampung Kuala Wook, kami mahu anak-anak kami berjaya, ada karier sendiri, dapat bantu ibu bapa sebab pekerjaan menoreh getah susah nak jamin hidup selesa dan tanaman lain juga tidak boleh diharapkan sebab ancaman hidupan liar," katanya.

Mengulas isu buli dalam kalangan anak Orang Asli, bagi ketua wakil kecemasan wanita Pos Simpor, Senourei Johari, 26, ia bukanlah isu baharu malah sudah lama berlaku bahkan budaya negatif itu boleh diibaratkan seperti diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

"Tidak ada perubahan, " kata ibu kepada dua orang anak ini.

Beliau menjelaskan, insiden buli, diskriminasi kaum lain terhadap anak Orang Asli di sekolah arus perdana sepertimana di Kampung Kuala Wook turut dialami anak penduduk perkampungan Orang Asli Pos Simpor, sekitar 98km dari bandar Gua Musang.

Malah, amat menyedihkannya apabila ada antara kawan sekolahnya nekad berhenti kerana tidak tahan lagi dibuli, dihina dengan gelaran yang menyakitkan hati hampir setiap masa.

"Kami rasa malu dan tertanya-tanya apakah salah untuk berkawan dan mengapa kami tidak diterima? Cikgu pula, ada (bukan semua) yang tumpu mereka yang pandai sahaja, kelas tambahan pun untuk golongan itu, yang tak pandai dibiarkan saja. Ketika zaman saya, ramai jugalah yang berhenti," katanya.

Biarpun situasi itu tidak lagi berlaku di pos berkenaan selepas pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya pada tahun 2019 - sekolah pertama anak orang Asli di Kelantan - Senourei menambah, cerita anak Orang Asli dibuli di sekolah arus perdana masih berlarutan sehingga kini.

Malah, keadaan ini turut diakui pemangku penghulu Pos Simpor Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 30, yang melihat pembukaan SMK Panggung Jaya bagaikan 'rahmat' kepada pos berkenaan. Pos Simpor mempunyai lebih 900 penduduk daripada 12 buah kampung iaitu Kampung (kg) Penad, Kg Sedal, Kg Sumbang, Kg Ceranok, Kg Dandut, Kg Jader Lama, Kg Pahoj, Kg Kledang, Kg Pos Simpor, Kg Halak, Kg Rekom dan Kg Tihok.

Menurut bapa kepada tiga orang anak ini, insiden buli di sekolah arus perdana pernah menjadi isu hangat kalangan ibu bapa pos tersebut sebelum ini, malah beliau turut menjadi mangsa buli sehingga akhirnya mengambil keputusan berhenti sekolah.

"Saya berhenti sekolah ketika darjah empat dan ambil keputusan belajar di sekolah komuniti yang dikendalikan oleh satu NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Isu buli ini memang tidak boleh dipandang remeh kerana ia sangat beri kesan kepada sesiapa sahaja," katanya.

Hampir setiap pertemuan dengan wakil kampung atau pos masyarakat Orang Asli negeri ini, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along, 35, menerima aduan yang sama iaitu insiden buli dan sikap rasis kaum lain terhadap golongan minoriti itu.

Situasi tidak sihat itu wajar diberi perhatian serius dan ditangani segera memandangkan ia sudah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Orang Asli selain menyumbang kepada keciciran pendidikan anak mereka.

"Masyarakat kami sering jadi sasaran buli kerana dianggap lemah dan kumpulan minoriti apabila berada di sekolah arus perdana. Kami juga mendapati alasan anak dibuli disebabkan faktor bahasa, fizikal serta kemiskinan.

"Ada melihat Orang Asli mudah dibuli kerana sikap kami yang pemalu, pendiam...Orang Asli apabila berada di persekitaran asing, tidak pernah dirasai kerana sebelum ini di pedalaman, pergaulan hanya sesama mereka, membuatkan anak-anak ini ambil masa mengenali dunia luar," katanya.

Hakikatnya, isu buli serta diskriminasi terhadap anak Orang Asli bukan hanya di negeri Pantai Timur bahkan turut menular di kebanyakan penempatan masyarakat ini di Semenanjung yang biasanya di sekolah arus perdana berikutan minoriti mereka.

Perkara ini dikongsi bekas senator mewakili masyarakat Orang Asli, Datuk Isa Abdul Hamid.

Menurut beliau, isu buli sekolah arus perdana agak serius bagi kumpulan minoriti Orang Asli Negrito seperti di pedalaman Kelantan dan Terengganu dan biasanya serangan rasis ini lebih kepada bentuk lisan, psikologi berbanding fizikal.

(Untuk maklumat, masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama iaitu Senoi (majoriti) dengan peratusan 55.09 peratus, diikuti Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Kumpulan kaum Orang Asli Senoi terdiri daripada etnik Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri, Mah Meri manakala bagi Melayu Proto (Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar, Orang Kuala) dan Negrito (Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh, Bateq).

Difahamkan pada tahun 2016, keciciran pelajar Orang Asli menurun daripada 20 peratus kepada 17 peratus dan pada tahun 2018, peratusan itu menurun lagi antara 13 ke 15 peratus. Pengiraan peratusan itu diambil berdasarkan jumlah pelajar Tahun Enam yang mendaftar masuk ke Tingkatan Satu setiap tahun.

Hakikat itu membuatkan Isa melihat isu keciciran yang disebabkan buli, rasis, perlu ditangani secara serius memandangkan data pendidikan anak Orang Asli 2020/2019 mendapati lebih banyak anak kumpulan ini bersekolah di arus perdana sama ada sekolah rendah atau menengah berbanding sekolah khusus Orang Asli.

Antara pendekatan yang beliau cadangkan, yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini antaranya dengan menempatkan guru Orang Asli di sekolah arus perdana yang mempunyai ramai anak-anak Orang Asli.

Selain itu, kursus motivasi perlu diperbanyakkan secara berterusan bagi meningkatkan semangat anak ini supaya tidak mudah goyah apabila berhadapan sebarang cabaran pendidikan dan program berkenaan juga perlu dinilai kembali untuk melihat keberkesanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 7:01 AM