Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Kubu Bharu: Dianggarkan 100 pengunjung dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan awam berhampiran Father Organic Farm, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, setakat ini, tidak diketahui jumlah mangsa sebenar yang terjejas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi tadi.

"Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Maklumat awal daripada pihak polis mendapati kira-kira 100 jumlah mangsa dipercayai terbabit dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 39 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar).

"Seramai 31 individu berjaya ditemukan dan diselamatkan pasukan penyelamat berdasarkan maklumat terkini kira-kira jam 5 pagi tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, dan beberapa balai lain sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:54 AM