ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kilang memproses kelapa di Jalan Desa 3, Taman Desa Country Home, Rawang, hari ini.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kilang memproses kelapa di Jalan Desa 3, Taman Desa Country Home, Rawang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Sebuah kilang memproses kelapa di Jalan Desa 3, Taman Desa Country Home, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini,

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.30 malam tadi.

"Seramai 28 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Morni berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses kelapa.

"Kejadian itu menyebabkan premis terdiri daripada bangunan setingkat itu terbakar kira-kira 80 peratus.

"Kerja-kerja pemadaman sedang giat dijalankan oleh anggota bomba. Kebakaran itu berjaya dikawal jam 10.58 malam tadi.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:49 PM