ANGGOTA bomba melakukan pemantauan banjir di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Jalan Gajah 23, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, hari ini.
ANGGOTA bomba melakukan pemantauan banjir di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Jalan Gajah 23, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Hujan lebat lebih sejam menyebabkan beberapa kawasan di sini, dilanda banjir kilat, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima dua panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir, iaitu pertama di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang jam 4.47 petang.

"Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama dua jentera serta sebuah bot dikejarkan ke lokasi.

"Kami dimaklumkan banjir berlaku akibat limpahan air sungai berhampiran, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan berkaitan banjir di Jalan Gajah 23, Kampung Kubu Gajah jam 5.44 petang.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera serta sebuah bot dari BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku banjir di lokasi terbabit dengan anggaran air naik kira-kira 0.6 meter.

"Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa dilakukan dan paras air menunjukkan trend menurun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 8:06 PM