DOUGLAS, SonaOne berpadu suara dalam lagu Aduh disuntik elemen lawak.
DOUGLAS, SonaOne berpadu suara dalam lagu Aduh disuntik elemen lawak.
Georgie Joseph


BERGABUNG pertama kali untuk lagu Aduh, pelawak Douglas Lim dan penyanyi rap, SonaOne tidak sukar mencipta keserasian.

Lagipun, hala tuju karya yang mereka impikan memang selari.

Barangkali sedikit canggung buat Douglas, 45, kerana dia tidak pernah menyanyi lagu hip hip sebelum ini lebih-lebih lagi dia datang dari bidang yang jauh berbeza, namun percaturannya memuaskan.

Sebenarnya penyampai radio FlyFm itu sudah lama mengimpikan memiliki lagu hip hop.
Lebih menarik, kerjasama mereka untuk lagu itu sebenarnya sebuah projek rahsia yang dibuat tanpa pengetahuan ramai.

Douglas berkata, dia sudah lama ingin menyanyi lagu hip hop.

"Ketika berusia 18 tahun, saya bermula sebagai penyanyi dan penulis lagu untuk muzik alternatif sebelum bertukar menjadi pelawak.

"Akhirnya saya dapat realisasikan impian itu dengan SonaOne. Sebenarnya saya pun tak sangka terus dapat bekerjasama dengan penyanyi rap hebat sepertinya kerana awalnya cuma minta penyanyi rap baharu.

"Dalam tempoh rakaman lagu itu, saya terpaksa berahsia dengan rakan sekerja dan orang terdekat lain. Bila sudah jadi, baru boleh kongsi dan lancarkan secara rasmi lagu itu," katanya.

Berjiwa pelawak tegar pasti pembabitan Douglas menyanyi secara profesional juga sedikit sebanyak dipandang sinis. Adakah dia benar-benar menyanyi demi kualiti atau sekadar suka-suka?

Baginya, peluang itu dianggap satu percaturan terbaik untuk kembalikan cintanya terhadap muzik.
Justeru, dia enggan terlalu memikir ke arah terlalu serius kerana baginya lagu Aduh untuk hiburan semata-mata.

"Disebabkan itu saya nakkan lagu yang lebih ringkas dan tidak mendalam. Syukur SonaOne juga berpendapat sama di mana walaupun disuntik elemen lawak, penghasilannya dibuat profesional.

"Saya mahu lagu yang boleh mempamerkan karakter diri saya. Apa pun, secara teknikal, kualiti penghasilan dibuat dengan begitu teliti dan memuaskan," katanya.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach, 34, juga teruja apabila dapat menghasilkan lagu yang lebih ringan sebegitu.

Ini kerana, pada awal berjinak-jinak dalam muzik pun, karyanya banyak bercorak begitu.

GABUNGAN sulung Douglas dan SonaOne terjalin mudah.
GABUNGAN sulung Douglas dan SonaOne terjalin mudah.

Kerjasama dengan Douglas ternyata membuka peluangnya kembali menonjolkan sisi itu.

Menurutnya, dia yakin lagu bercorak begitu juga memberikan kepuasan tersendiri buatnya sebagai pengkarya.

"Awal-awal dulu, lagu yang saya hasilkan memang jenis menyeronokkan begitu. Saya pernah menghasilkan lagu mengenai ayam goreng yang mana liriknya kebanyakan dalam elemen lawak.

"Bila kembali hasilkan lagu sebegini, tidak susah pun. Bahagian mencabar cuma mencari lagu yang benar-benar tepat auranya untuk kami setarakan karakter masing-masing," katanya.

Walaupun nampak dihasilkan secara suka-suka, SonaOne berkata, mereka tetap terapkan mesej penting dalam Aduh. Mesej itu ringkas, namun sangat besar pengertiannya terutama dengan situasi masyarakat sekarang.

"Secara dasarnya, Aduh adalah menyentuh mengenai keyakinan diri. Untuk kita menerima diri seadanya tanpa harapkan orang suka kita hanya kerana sisi diri yang nampak indah saja.

"Sebagaimana kita tengok ramai orang sekarang, mereka cenderung terpengaruh dengan jumlah 'like' dalam media sosial. Padahal, untuk menjadi yakin sebenarnya bertitik tolak daripada dalaman kita dan bukan pendapat orang lain," katanya.

BUKA JALAN BERGABUNG LAGI

Dalam pada itu, Douglas pula sedia menerima kritikan warganet terhadap pembabitan semulanya menjadi penyanyi. Terutama untuk lagu Aduh itu sendiri, menurutnya dia reda.

"Kena faham, pelawak seperti saya ini memang 'tebal muka'. Kalau buat persembahan lawak dan orang tak ketawa pun, itu sudah umpama kritikan buat saya sendiri.

"Jadi, saya okay saja kalau dapat komen atau kritikan mengenai Aduh ini. Bagi saya, suka atau tidak, terpulang kepada mereka dan saya terbuka menerima segala maklum balas terhadap lagu itu," katanya.

Selepas kerjasama sulung itu, Douglas dan SonaOne tidak menolak untuk bergabung menghasilkan lagu seterusnya jika ada peluang.

Douglas berharap Aduh menjadi pembuka jalan untuk lebih pergi jauh dalam muzik.

"Harapan saya, semoga lagu itu mampu pergi jauh dan turut memberi kesempatan buat saya persembahkan depan khalayak. Kalau dapat buat lagu lagi dengan SonaOne kelak, kenapa tidak?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:00 AM