YHB Sleepsalot. A Nayaka dan SonaOne.
YHB Sleepsalot. A Nayaka dan SonaOne.
YHB Sleepsalot. A Nayaka dan SonaOne.
YHB Sleepsalot. A Nayaka dan SonaOne.
Syafil Syazwan Jefri


WALAUPUN baru dilancarkan sebulan lalu, lagu Orang Lain nyanyian A Nayaka, SonaOne dan YHB Sleepsalot sudah mula mencuri perhatian ramai.

Bukan saja di pelbagai platform penstriman muzik, malah ia turut menjadi pengisi dalam beberapa kandungan di platform digital TikTok.

Kejayaan itu juga membuatkan karya itu diangkat dan diadun semula dalam versi baharu dan istimewanya, ia menggabungkan beberapa generasi penyanyi rap.

Antara yang terbabit dalam projek ini selain penyanyi asalnya adalah Joe Flizzow, Yonnyboii, Zynakal, SYA, Senna dan Airliftz.

Bagi SonaOne yang bertanggungjawab sebagai pengadun semula sepenuhnya karya ini, dia sendiri tidak menyangka Orang Lain akan menerima tumpuan sehebat ini.

"Ia dihasilkan dalam bentuk 'remix' kerana ia adalah karya hip hop. Dalam budaya hip hop, kalau sesuatu karya itu menarik, ia wajib diadun semula.

"Kalau diikutkan, ketika ia baru saja dilancarkan, saya fikir hanya saya, A Nayaka dan YHB Sleepsalot saja yang fikir lagu ini ada karisma. Rupa-rupanya ramai yang 'layan'," katanya.

Menurut SonaOne, adunan semula Orang Lain ini menggabungkan bait terbaik yang diterima daripada pengguna TikTok.

Adunan semula lagu Orang Lain gabung bait terbaik diterima daripada pengguna TikTok
Adunan semula lagu Orang Lain gabung bait terbaik diterima daripada pengguna TikTok

"Jadi, kami memutuskan untuk mengadakan 'remix' memandangkan ramai yang menyertai dan kongsikan video menggunakan Orang Lain TikTok Challenge dengan versi masing-masing.

"Jadi, idea kami adalah menggabungkan bait terbaik serta susunan lirik yang kami jumpa dalam versi yang dihasilkan ramai orang," katanya.

Pembabitan artis lain juga memberi warna dan tenaga baharu dalam versi adunan semula ini.

"Disebabkan ramai artis terbabit dalam projek ini maka cara saya untuk membuat susunan semula itu adalah berdasarkan corak tenaga. Setiap mereka memiliki tenaga berbeza dan pendekatan melodi berbeza.

"Misalnya Joe Flizzow, gayanya lebih kepada yakin, lancar dan tona suara yang berat. Kemudian, kita ada SYA yang suka menyanyi dan rap pada masa sama.

"Jadi, saya seimbangkan semula tenaga itu dalam sebuah lagu apabila semua orang ada rangkap yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:21 AM