SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan JIM Putrajaya dalam operasi khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).  FOTO Ihsan JIM
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan JIM Putrajaya dalam operasi khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2). FOTO Ihsan JIM
Samadi Ahmad

Putrajaya: Komplot jahat membawa masuk beramai-ramai warga negara asing yang menyamar sebagai pelancong melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia 2).

Malah lebih mengejutkan apabila sindiket 'agensi pelancongan' itu turut menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan ke lokasi menarik dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah warga asing dibawa masuk itu adalah pelancong sebenar.

Itu antara taktik licik dilakukan membabitkan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan enam lelaki warga India sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kegiatan itu bagaimanapun terbongkar hasil operasi sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai JIM Lapangan Terbang Klia 2, kelmarin.

Menurutnya, pegawai JIM yang ditahan berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.

Katanya,mereka cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas kerja sah serta mengelakkan bayaran levi.

"Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing terbabit untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong," katanya semalam.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong sebenar.

Menurutnya, pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan memberikan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem JIM.

Katanya, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap 'pelawat'.

"Sindiket itu disyaki menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu," katanya.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Katanya, pegawai Imigresen terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, selepas perintah reman diperolehi.

"JIM akan terus meningkatkan usaha risikan bagi membenteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia membabitkan pegawai imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 12:00 PM