PEGAWAI Imigresen berjaya menahan seorang warga Ghana yang terjun ke dalam tasik di Cyberjaya.FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
PEGAWAI Imigresen berjaya menahan seorang warga Ghana yang terjun ke dalam tasik di Cyberjaya.FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Samadi Ahmad

Putrajaya: Sanggup gadai nyawa dengan terjun ke dalam tasik kerana bimbang dicekup pihak berkuasa.

Itu tindakan nekad seorang lelaki warga Ghana yang cuba melarikan diri sebaik menyedari operasi dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhampiran Kelab Komuniti Cyberjaya di sini, petang semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaik menyedari kehadiran pegawai Imigresen, suspek warga asing terbabit cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam tasik di belakang kelab itu.

Menurutnya, pegawai Imigresen terpaksa terjun sama ke dalam tasik itu untuk menahan warga asing terbabit.

"Seorang rakan senegara suspek turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memasuki negara ini.

"Sebelum ini pihak JIM melakukan operasi pertama di sebuah hotel lama di Jalan Pudu, Kuala Lumpur yang dikenal pasti sebagai lokasi 'panas' aktiviti pelacuran.

"Premis itu sudah berulang kali diserbu agensi penguatkuasaan namun masih menjalankan aktiviti persundalan membabitkan warga asing," katanya.

Menurutnya, beberapa warga asing didapati cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan untuk pemeriksaan.

"Seramai 63 individu diperiksa dan hasilnya seramai 12 warga asing ditahan membabitkan lima wanita warga Vietnam dan tujuh lelaki warga Bangladesh," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, operasi seterusnya dijalankan di kawasan Puchong, Selangor pada jam 1 pagi semalam membabitkan pemeriksaan ke atas dua premis kediaman.

Menurutnya, seramai 21 individu diperiksa sebelum 12 warga asing membabitkan lima lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan enam wanita warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah memasuki negara ini.

"Operasi itu membabitkan sepasukan 20 pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas (QRT) Putrajaya".

"Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:28 AM