ANTARA Pati yang ditahan di TBS, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JIM.
ANTARA Pati yang ditahan di TBS, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JIM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur ketika cuba memasuki Malaysia secara haram dalam satu operasi khas, semalam.

Operasi pada 5.20 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM selepas mendapat maklumat awam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, berdasarkan maklumat enam Pati dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok, Kelantan akan dihantar ke Kuala Lumpur menaiki bas awam.

Katanya, pasukan operasi berjaya mengesan bas berkenaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan mengekorinya sehingga ke TBS.

"Sebaik tiba di TBS, pasukan operasi memeriksa semua penumpang dalam dua bas secara berasingan dan hasilnya, kami menahan lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, semakan lanjut mendapati kesemua Pati itu memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu.

Menurutnya, cap palsu yang digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan Imigresen di pintu masuk negara.

Katanya ,kesemua PATI itu dikesan memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.

"Sindiket dipercayai mengubah modus operandi dengan membawa Pati menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan kemudahan lain supaya Pati berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan.

Menurutnya, Pati itu seterusnya akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Katanya, kesemua mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan Imigresen semasa masuk ke Malaysia sebaliknya urusan berkaitan pasport diuruskan oleh pihak sindiket ketika berada di rumah transit penampungan.

"Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula sama ada dengan bekas majikan atau majikan baharu di sekitar Kuala Lumpur yang sudah diatur awal oleh pihak sindiket," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, Pati itu mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini.

Kesemua Pati yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:33 PM