GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Konsep beli dulu, bayar kemudian (BNPL) semakin menjadi pilihan peniaga untuk 'memancing' pembeli membeli produk.

BNPL yang menawarkan sifar kadar faedah kepada pembeli menyebabkan konsep itu turut menjadi pilihan pengguna khususnya mereka yang 'terdesak' jika mahu membeli barang secara terus dengan harga ditawarkan.

Dengan wujudnya konsep ini, pengguna berasakan ia antara alternatif untuk memiliki sesuatu barangan yang diidamkan tanpa perlu membuat bayaran penuh sekali gus.

Pengguna hanya perlu melunaskan bayaran pendahuluan manakala bakinya boleh dibayar dalam tempoh sehingga enam bulan.

Malah, mereka hanya perlu mengemukakan dokumen seperti kad pengenalan dan penyata bank malah ada yang menjanjikan kelulusan segera.

Jika keadaan ini tidak dikawal, pengguna umpama menjerat diri apabila dibelenggu hutang yang banyak tanpa disedari.

Dengan konsep 'biar papa, asal bergaya' menyebabkan ramai anak muda sanggup berhutang demi kelihatan mewah dan seiring dengan trend terkini.

Harian Metro merungkai pengalaman individu yang terjerat dengan konsep BNPL ini selain mendapatkan huraian lanjut daripada pakar kewangan bagaimana konsep ini mampu menjadi 'bom jangka' kewangan seseorang.

Mangsa 1 - Rimas kerap dihubungi, tuntut hutang - Eschaa

"Saya sudah serik dan insaf pun iya. Kalau boleh tak nak lagi beli cara begitu kerana enggan terbeban dengan hutang," kata wanita dikenali Eschaa.

Eschaa, 35, salah seorang individu yang terjebak dengan pembelian menerusi kaedah beli dahulu bayar kemudian di sebuah platform jual beli dalam talian.

Akibatnya, dia menanggung hutang yang kini mencecah RM4,000 termasuk faedah apabila gagal menjelaskan ansuran bulanan bagi pembelian televisyen dan lain-lain barangan.

"Saya sudah lama aktif membeli di sebuah platform jual beli dalam talian. Cuma mungkin kerana kerap membeli barangan agak mahal di situ, saya ditawarkan kredit pembelian pada Julai tahun lalu bermula dengan RM3,300.

"Nilai kredit itu kemudian meningkat kepada RM4,000,RM6,000 dan RM10,000 kerana kerap membeli," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Eschaa, tawaran menarik itu tidak dilepaskan malah dimanfaatkan bagi membuat pembelian barangan bermula dengan televisyen dengan ansuran bulanan RM500 selama enam bulan kemudian barangan lain.

"Kiranya, saya gunakan kemudahan itu bagi membeli barangan secara ansuran dan di situlah bermulanya bebanan hutang," katanya.

Menurut Eschaa, pada awalnya dia dapat menjelaskan ansuran bulanan pada tarikh ditetapkan.

Bagaimanapun, ketiadaan pendapatan akibat diberhentikan kerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan dia gagal menjelaskan ansuran bulanan hingga ada tunggakan.

"Tunggakan bermula sejak Januari tahun ini dan bayaran terakhir dibuat adalah untuk ansuran bulanan televisyen dan barangan lain.

"Oleh kerana gagal membayar, saya kerap dihubungi operator syarikat jual beli dalam talian berkenaan untuk menuntut hutang belum dijelaskan.

"Tertekan juga dibuatnya dan bagi mengelak terus diganggu, saya sekat nombor syarikat berkenaan, muat turun aplikasi yang boleh mengesan identiti pemilik nombor telefon dan abaikan panggilan tidak dikenali.

"Bukan mahu lari daripada hutang kerana saya ada cuba bayar pada kadar mininum namun tidak boleh kerana perlu menjelaskan ansuran bulanan mengikut jumlah ditetapkan.

"Jadi, saya terpaksa kumpul duit dalam akaun platform berkenaan dan jelaskan hutang apabila cukup jumlah diperlukan," katanya.

Eschaa berkata, dia ada aktifkan akaun baru bagi platfrom jual beli dalam talian yang sama dan ditawarkan dengan kredit pembelian.

"Bagaimanapun, saya abaikan tawaran itu kerana cukuplah sekali terbeban dengan hutang di platform jual beli berkenaan.

"Kini, saya lebih selesa beli barangan secara tunai atau menerusi potongan debit di akaun bank, kiranya berbalik kepada asas pembelian.

"Bagi saya, pembelian beli dahulu bayar kemudian itu memudahkan namun jadi buruk kesannya apabila pengguna tamak dan boros berbelanja hingga terjerat dengan hutang," katanya.

Mangsa 2 - Mulanya nampak menarik, lama kelamaan hutang menjerat saya - Hairul

"Mahu bergaya namun poket selalu 'kering' menyebabkan saya memilih konsep beli dulu, bayar kemudian (BNPL).

"Tapi disebabkan gagal mengawal mengawal kehendak berbanding keperluan, saya akhirnya terjerat dengan kerakusan diri sendiri," kata pekerja swasta, Hairul, 20-an.

Beliau berkata, dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan sudah pasti dia berdepan kekangan khususnya untuk memiliki pakaian dan gajet berjenama.

Katanya, tertarik dengan konsep BNPL, dia mengambil keputusan untuk membeli pelbagai barangan dari platform atas talian.

"Bayaran bulanan yang agak rendah selain syarat ringkas menyebabkan saya tidak terasa seterusnya semakin 'galak' membuat pembelian atas talian.

"Lama kelamaan jumlah hutang semakin meningkat dan akhirnya tidak mampu untuk melunaskan bayaran bulanan lain seperti kereta dan bil utiliti," katanya.

Hairul berkata, keterlanjuran dalam berbelanja kerana mengikut kehendak sehingga terjerat dengan bebanan hutang yang tinggi.

Katanya, kini mahu atau tidak dia terpaksa membayar hutang sehingga selesai kerana bimbang nama akan disenarai hitamkan kelak.

"Ini pengajaran terbesar dalam hidup agar kita lebih berhati-hati ketika berbelanja dan tidak hanyut dengan nafsu semata-mata," katanya.

Dialog kotaraya oleh juragan.
Dialog kotaraya oleh juragan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 12:00 PM