Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa kerajaan mewujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel agar seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara ini boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu supaya lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.

"Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah dua kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi.

"Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan 2023) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, antara yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia bekerja di luar negara yang mungkin mengambil masa lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen.

"Pada hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula.

"Sekiranya si bankrap menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status itu disegerakan dan dipermudahkan tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan," katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna khususnya dalam kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang disebabkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang ketika ini.

"Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan.

"Kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit," katanya.

Beliau berkata, dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021.

"Melihat kepada kadar hutang isi rumah di Malaysia yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion, BNPL boleh memburukkan lagi masalah hutang isi rumah sekiranya tiada sebarang bentuk intervensi tuntas dari pihak kerajaan," katanya.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan.

Selain itu, katanya, pinjaman sewa beli kenderaan menyumbang 7,072 kes iaitu 14.39 peratus.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan sewajarnya meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:25 PM