GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syarifah Dayana Syed Bakri

SETIAP kali melayari aplikasi e-dagang, saya pasti meletakkan beberapa barangan dalam troli maya sehingga ia mencecah jumlah maksimum.

Namun, untuk meneruskan ke proses pembayaran, ia mengambil masa agak lama kerana memikirkan duit dalam akaun.

Kebiasaannya saya biarkan saja barang yang dipilih itu kekal dalam troli maya. Tabiat ini sudah berlaku sejak awal penggunaan platform e-dagang. Ketika itu saya terfikir alangkah seronoknya ada duit yang banyak dalam akaun supaya semua barang dalam troli maya itu dapat saya beli tanpa perlu fikir panjang.

Namun, ada hikmah duit dalam akaun ada hadnya. Jika tidak pasti saya akan membeli barang yang sebenarnya tidak diperlukan.

Sejak tahun lalu, platform e-dagang ini mula memperkenalkan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) di mana kita boleh memiliki barangan yang diinginkan dengan segera dan bayaran dibuat secara ansuran.

Satu ketika dulu, pembayaran secara ansuran ini hanya membabitkan barangan yang mahal seperti perabot atau peralatan elektrik namun dengan BNPL semua jenis pembelian boleh dibuat secara ansuran termasuk makanan, pakaian atau gajet.

Lebih mengejutkan, untuk membeli kasut idaman kita juga boleh dibuat secara BNPL.

Secara zahirnya BNPL ini memudahkan kerana hanya beberapa minit diperlukan untuk 'mendapat kelulusan' dan semuanya dilakukan secara digital.

Tidak perlu bersemuka dengan sesiapa, tiada penyata gaji perlu diberikan dan tidak membabitkan penjamin.

Namun, ia sebenarnya boleh menjadi jerat kepada pengguna.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, BNPL satu gejala membimbangkan kerana buat masa ini ia tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus memudahkan individu terjebak dengan hutang terutama mereka yang tidak ada pengetahuan atau pengurusan kewangan yang bagus.

Katanya, tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran.

Malah, sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod, sekali gus merisikokan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak.

Pengendali BNPL juga semakin bijak dengan menawarkan pelbagai diskaun untuk menggoda pengguna. Jika beli secara tunai, tiada sebarang diskaun namun, jika menggunakan skim BNPL, kita akan peroleh 'penjimatan' sehingga RM30 contohnya.

Berdasarkan laporan Survei BNPL bagi suku keempat 2021 oleh Research and Markets, pembayaran secara BNPL di Malaysia dijangka berkembang 109.5 peratus setiap tahun dan mampu mencapai sehingga AS$601.2 juta (RM2.6 bilion) menjelang akhir tahun ini.

Nilai Barangan Kasar BNPL di negara ini akan meningkat daripada AS$287 juta (RM1.3 bilion) pada 2021 kepada AS$6.6 trilion (RM28.7 trilion) menjelang 2028.

Laporan itu menjangka pasaran BNPL akan meneruskan trajektori menaiknya dalam tempoh empat hingga lapan suku akan datang memandangkan permintaan perkhidmatan pembayaran tertunda dijangka meningkat dalam kalangan kedua-dua peniaga serta pengguna di negara ini.

Menurut laporan itu, bank tradisional mula kehilangan tempat kepada firma BNPL di negara ini, mendorong pemain perbankan menjalin pakatan strategik dengan pemain BNPL untuk menawarkan perkhidmatan BNPL mereka sendiri melalui kad kredit.

Berdasarkan unjuran Frost & Sullivan, jumlah nilai urus niaga BNPL di rantau ini akan meningkat kepada RM124.8 bilion pada 2026 berbanding RM36.6 bilion pada 2022 dengan jumlah pengguna aktif naik kepada 127 juta berbanding 37 juta.

Lebih menarik, populasi besar golongan remaja memberikan potensi pertumbuhan yang luas kepada sektor BNPL berikutan kumpulan ini aktif membeli-belah dalam talian serta pengguna utama perkhidmatan ini.

Berdasarkan data oleh Worldpay, BNPL mewakili 2.9 peratus daripada transaksi e-dagang global pada 2020 dengan penggunaan lebih tinggi di pasaran yang sudah matang dengan penguasaan pasaran dijangka mencapai 5.3 peratus pada 2025.

Ketika ini, penggunaan BNPL lebih mudah disaksikan di Sweden dengan 25 peratus kadar penembusan diikuti Jerman (20 peratus).

Berdasarkan momentum yang ditunjukkan BNPL, bank mungkin ketinggalan sekiranya tidak membuat sebarang tindakan.

Kajian menunjukkan fintech BNPL sudah mengalihkan antara AS$8 bilion (RM36 bilion) hingga AS$10 bilion (RM44.5 bilion) perolehan tahunan daripada bank.

Ini bermakna, sama ada di pasaran antarabangsa atau Malaysia, BNPL terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna khususnya golongan muda. Malah, populariti BNPL bakal mengatasi kad kredit.

Ketika ini, Akta Kredit Pengguna (CCA) sedang digubal yang dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada suku kedua 2023.

CCA akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah pihak berkuasa kompeten bebas, ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

Antara aspek yang perlu diperketatkan dalam BNPL adalah jumlah (had) kredit yang boleh diluluskan kepada pelanggan, kadar faedah ditawarkan, jenis harga barangan yang dibenarkan untuk memanfaatkan kemudahan BNPL serta tempoh pembayaran bagi skim berkenaan.

Sebelum melakukan sebarang transaksi, tanyalah diri sendiri sama ada mampu atau tidak menanggung komitmen itu. Walaupun BNPL itu satu kemudahan namun janganlah ambil mudah perihal hutang.

Hanya kita yang tahu tahap kemampuan sendiri.

 

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 5:59 AM