KEVIN Ford menunjukkan barangan diterimanya. - FOTO Agensi
KEVIN Ford menunjukkan barangan diterimanya. - FOTO Agensi
Agensi

Las Vegas: Ibarat menerima durian runtuh. Itu tuah seorang kakitangan sebuah restoran makanan segera di Nevada, Amerika Syarikat apabila bukan hanya menerima pelbagai cenderahati daripada rakan dan majikan, malah tajaan serta wang sumbangan bagi menziarahi cucunya di New York.

Memetik portal Global News, segalanya bermula apabila kakitangan bertuah itu, Kevin Ford, 60, meraikan ulang tahun ke-27 berkhidmat bersama restoran berkenaan di cawangan Lapangan Terbang McCarren, Las Vegas.

Apabila dia mengumumkan ulang tahun perkhidmatannya kepada pihak pengurusan baru-baru ini, mereka mengumpulkan pelbagai hadiah termasuk tiket wayang, cawan kopi Starbucks, lanyard, beberapa pen dan gula-gula serta beg galas bertali sebagai tanda penghargaan.

Ford berkongsi video dia membuka beg galasnya yang mengandungi hadiah berkenaan di TikTok serta sempat menzahirkan penghargaan terima kasih kepada rakan sekerjanya sebelum video itu tular.

Menurut Fortune, melihat kejayaan video itu mendorong anak perempuan Ford, Sernya, menyediakan halaman GoFundMe untuk membantu ayahnya mengumpul AS$200 (RM890.30) supaya bapanya boleh menziarahi cucunya.

"Lelaki dalam video itu ialah ayah saya. Dia bekerja di tempat kerjanya selama 27 tahun dan ya, dia tidak pernah terlepas kerja sehari pun.

"Dia bapa tunggal kepada empat anak dan kekal bekerja di situ kerana mempunyai pakej insurans kesihatan yang baik.

"Kami sama sekali tidak meminta wang atau adakah dia mengharapkan apa-apa wang tetapi jika ada yang ingin membantunya (tentu) dia akan suka melawat cucu-cucunya," tulis Sernya dalam laman berkenaan.

Sehingga kini, sumbangan terkumpul mencecah lebih AS$350,000 (RM1,558,025), malah The Today Show memberinya tawaran hebat untuk menaja penerbangan lelaki itu ke New York untuk bertemu semula dengan cucu-cucunya.

"Saya menangis selama ini dan sudah tentu, saya menangis secara langsung di televisyen sekali lagi melihat cucu saya," katanya kepada Fox11 mengenai pertemuan semula itu.

Dia juga mengemas kini akaun TikTok miliknya dengan video baharu dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada orang ramai atas sokongan dan kemurahan hati mereka.

Dalam pada itu, Ford berkata, dia tidak merancang mengambil cuti atau bersara dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:30 AM